citfPilah

KUALA PILAH, 14 Januari 2022 (Korporat SUKNS) – Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain mengetuai senarai 410 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Negeri Sembilan Hari Keputeraan Ke-74 DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir. Zamrose menerima Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang membawa gelaran Dato’ Seri. Selain Zamrose, turut menerima darjah SSNS ialah Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts Holding Berhad, Dato’ Lee Tian Hock.

Tuanku Muhriz turut berkenan menganugerahkan Darjah Datuk Paduka Negeri Sembilan (DPNS) yang membawa gelaran Dato’ kepada Penasihat Undang-undang Negeri, Muzalmah Mustapha Kamal.

Tuanku Muhriz juga turut berkenan menganugerahkan Darjah Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Gemilang (DSTM) yang membawa gelaran Dato’ kepada dua penerima iaitu Pengelola Bijaya Diraja, Kapten (B) Azizi Mohamad Ali dan Penghulu Luak Inas, Mohammad Ariff Sidek.

Ahli Dewan Negara, Dr Ahmad Azam Hamzah M. Ravi, Pakar Perunding Kardiologi, Dr. Asri Ranga Abdullah Ramaniah, Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datin Dr. Harlina Abdul Rashid, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Md. Fiah Md. Jamin dan artis Wan Aishah Wan Ariffin pula adalah antara 22 penerima Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang turut membawa gelaran Dato’.

Sebanyak 11 orang menerima Darjah Setia Negeri Sembilan (DNS) termasuk Dato’ Raja Balang Balai Undang Luak Jelebu, Amrus Alias dan Ketua Eksekutif Akademi YNS, Baharom Abu Bakar. Pada tahun ini, pingat Darjah Tuanku Muhriz (DTM) diterima oleh dua penerima iaitu Pembantu Peribadi DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Saadat Ruhayah Hassan dan Orang Enam Istana, Zulkeply Mansor.

Tuanku Muhriz turut berkenan mengurniakan Darjah Pekerti Terpilih (DPT) kepada 31 penerima dan Ahli Setia Negeri Sembilan (ANS) kepada 43 penerima, Setiawan Tuanku Muhriz (STM) kepada seorang penerima, Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (PMC) kepada 98 penerima dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada 171 penerima.

Seramai 10 orang menerima Pingat Bentara Tuanku Muhriz (BTM) dan 16 orang lagi menerima Pingat Khidmat Lama (PKL).

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat Negeri Sembilan berlangsung di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti.