5,397 PENJAWAT AWAM NS TERIMA BANTUAN KHAS
Seremban, 3 Disember 2020 (UKIK) -- 
Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini sebulat suara meluluskan Belanjawan Negeri 2021 bagi membolehkan pentadbiran negeri dan agenda pembangunan dapat diteruskan kerajaan negeri.

Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2021) 2020 (Belanjawan 2021) Negeri Sembilan yang memperuntukkan sejumlah RM560 juta telah dibahaskan selama tiga hari bermula 30 Nov lepas membabitkan 36 Ahli DUN di pihak kerajaan dan pembangkang.

Belanjawan 2021 Negeri Sembilan merupakan belanjawan defisit sebanyak RM112 juta berikutan peruntukan sebanyak RM560 juta melebihi anggaran hasil sebanyak RM448 juta pada tahun tersebut. 

Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun ketika menggulung perbahasan berkata kerajaan berjaya meningkatkan kedudukan rizab daripada RM687.77 juta pada 2018 kepada RM1.002 bilion pada 2020.

“Ini bermakna kerajaan berjaya mengumpul rizab negeri sebanyak RM315 juta dalam tempoh dua tahun (2018-2020),” katanya pada sesi penggulungan perbahasan RUU itu yang dilakukan bersekali dengan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja di sini.

Pada Jumaat lepas, Dato’ Seri Aminuddin Harun membentangkan Belanjawan 2021 bertemakan ‘Merangsang Ekonomi dan Memperkasa Rakyat’ dengan peruntukan sebanyak RM560 juta, sekali gus menjadikannya belanjawan terbesar dibentangkan dalam sejarah Negeri Sembilan.

Mengenai anggaran pembangunan Negeri Sembilan tahun 2021 yang berjumlah RM153 juta, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata ini merupakan strategi kerajaan sebagai dasar pemulihan.

“Belanjawan ini akan memberi kesan berganda kepada sektor ekonomi dan akan membantu sekurang-kurangnya 12 sektor rantaian industri pembinaan seperti simen, pasir, batu, besi, cat, mesin, peralatan dan jentera.

“Ini pastinya membuka banyak peluang pekerjaan dan merancakkan aliran tunai domestik,” katanya dan menganggarkan input pembangunan berjumlah RM153 juta dijangka menghasilkan output sebanyak RM310.59 juta.

Mengenai peruntukan kepada Pejabat Menteri Besar daripada RM10 juta pada tahun ini kepada RM30 juta tahun depan, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata pertambahan peruntukan itu untuk pusat khidmat DUN, permasalahan rakyat, agihan kepada pejabat daerah, pembinaan pusat penempatan semula penjaja, tabung perubatan hemodialisis dan lain-lain perkhidmatan masyarakat.

Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata atas nasihat Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri dan Pejabat Kewangan Negeri, peruntukan di bawah perintah mahkamah, yang turut termasuk dalam peruntukan di bawah Pejabat Menteri Besar turut menyaksikan kenaikan daripada RM1 juta kepada RM8 juta berikutan terdapat 11 kes lama yang belum diputuskan di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan.

Pada tahun lepas, Negeri Sembilan membentangkan Belanjawan 2020 yang bertemakan ‘Melestari Ekonomi dan Mensejahtera Rakyat’ dengan peruntukan sebanyak RM507 juta.

Sementara itu, kesemua barisan Exco Kerajaan Negeri Sembilan bersetuju untuk memotong sebanyak 10 peratus gaji bagi tempoh enam bulan pada tahun depan bermula Januari untuk disalurkan ke dalam Akaun Amanah Bencana Negeri Sembilan.

Pada persidangan itu juga, turut diluluskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja.