KERAJAAN NEGERI SEMBILAN BANTU MAHASISWA ANAK NEGERI
Seremban, 23 November 2020 (UKIK) -- Seramai 1,250 mahasiswa Anak Negeri Sembilan yang menuntut di Institut Pengajian Tinggi menerima Bantuan Sara Hidup Mahasiswa Negeri Sembilan selama setahun.
 

Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, bantuan sebanyak RM100 setiap bulan itu diberikan kepada mahasiswa daripada keluarga kategori B40. Peruntukan bantuan sebanyak RM1.5 juta yang disediakan Kerajaan Negeri itu juga sekurang-kurangnya meringankan beban perbelanjaan mahasiswa dan ibu bapa.

Sementara itu, Kerajaan Negeri turut menyerahkan 30 buah komputer riba kepada mahasiswa daripada keluarga kategori B40 yang layak bagi memudahkan para pelajar mengikuti sesi pengajian secara dalam talian susulan penularan wabak pandemik Covid-19.

Turut hadir dalam majlis penyerahan kepada wakil Persatuan Pelajar Anak-Anak Negeri ialah Setiausaha Kerajaan, Dato’ Dr. Razali Ab Malik, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri, Dato’ Dr. Mohamad Rafie Abdul Malek serta Pegawai Kewangan Negeri,  Dato' Mohd Khidir Majid.