BELANJAWAN TAMBAHAN NS DILULUSKAN DENGAN SOKONGAN MAJORITI
Seremban, 4 September 2020 (Korporat SUKNS) -- Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan Pertama Tahun 2020 dengan peruntukan tambahan berjumlah RM50 juta bagi meneruskan pengurusan pentadbiran negeri dan agenda pembangunan Kerajaan Negeri.

Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan Pertama Tahun 2020 dibentangkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun untuk melaksanakan 10 inisiatif untuk mengurangkan beban rakyat, diluluskan selepas bacaan ketiga dan mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri.

Peruntukan tambahan itu bukan disebabkan oleh kegagalan pentadbiran dalam menguruskan belanjawan negari, tetapi untuk menyelaraskan semula perbelanjaan sebelumnya supaya belanjawan negeri kekal berada dalam kawalan.

"Walaupun peruntukan tambahan akan mengubah landskap anggaran negari daripada seimbang menjadi defisit, tetapi kesan defisit tidak dirasakan secara signifikan. Tambahan RM50 juta sama dengan 10.94 peratus yang menjadikan jumlah peruntukan menjadi RM507 juta,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan Pertama Tahun 2020 itu pada Persidangan Kedua (Khas-Belanjawan Tambahan) Penggal Ketiga DUN Negeri Sembilan Yang Ke-14.

Sidang DUN Negeri Sembilan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.