Negeri Sembilan Umum Peruntukan Tambahan Rm13.74 Juta Bantu Rakyat
Seremban, 27 Mac 2020 (UKIK) - Kerajaan Negeri Sembilan hari ini mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM13.74 juta sebagai inisiatif bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung rakyat di negeri ini akibat penularan wabak COVID-19.

Menteri Besar Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata daripada jumlah itu, RM3 juta diperuntukkan bagi membantu peniaga kecil atau penjaja yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan kadar RM300 seorang.

Selain itu, RM1 juta juga diperuntukkan kepada pemandu teksi, kereta sewa dan perkhidmatan e-hailing yang berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dengan kadar RM300 seorang.

Tambahan peruntukan sebanyak RM5 juta ke Akaun Amanah Permasalahan Rakyat tertakluk kepada keperluan sebenar bagi bantuan keperluan asas kepada golongan berpendapatan rendah dan pekerja harian yang pendapatannya terjejas akibat COVID-19.

“Kita juga memperuntukkan RM500,000 sebagai bantuan kepada mana-mana pesakit COVID-19 di negeri ini dengan setiap keluarga akan menerima bantuan sebanyak RM500 serta tambahan sebanyak RM1 juta untuk bantuan keperluan kepada petugas barisan hadapan COVID-19 di Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media di sini.

Aminuddin berkata insiatif yang diumumkan hari ini adalah fasa kedua selepas yang pertama pada 18 Mac lepas, membabitkan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi bantuan keperluan asas kepada individu berpendapatan rendah serta melanjutkan tempoh akhir bayaran cukai tanah daripada 31 Mei kepada 31 Julai tanpa dikenakan bayaran denda lewat.

Kerajaan negeri, kata menteri besar juga turut untuk mengecualikan sewa Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi bulan Mac dan April membabitkan jumlah RM1.24 juta serta memperuntukkan RM2 juta untuk keperluan-keperluan lain semasa penularan COVID-19. Aminuddin berkata, selain itu pihaknya juga memutuskan bahawa tiada bazar Ramadan akan beroperasi tahun ini di seluruh negeri ini. Umat Islam dijangka menyambut Ramadan pada 24 April.