wbf

Seremban, 22 November 2024 (Korporat SUKNS) – Kerajaan Negeri Sembilan hari ini mengumumkan sebanyak dua bulan gaji kepada 6,613 penjawat awam negeri di bawah pentadbiran. Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, bantuan itu akan diberikan kepada 6,613 penjawat awam negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“BKK akan dibayar pada Januari dan sebelum Aidilfitri pada Mac 2025 bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan mereka,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Persidangan Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri di Wisma Negeri.

Aminuddin turut berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan penjawat awam di Negeri Sembilan yang mana tadbir urus dan tatakelola perkhidmatan awam berada pada tahap tertinggi dan sering dijadikan contoh oleh negeri-negeri lain.

“Secara keseluruhannya saya amat berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh penjawat awam di negeri ini.

“Pengiktirafan demi pengiktirafan yang diterima di peringkat nasional membuktikan tadbir urus dan tatakelola perkhidmatan awam negeri ini berada pada tangga aras yang tinggi dan sering dijadikan contoh oleh negeri-negeri lain.

“Kejayaan kita mengubah daripada belanjawan defisit kepada surplus untuk dua tahun berturut-turut menjadi bukti kukuh bahawa tiada yang mustahil untuk dicapai sekiranya disokong dengan iltizam dan tekad jitu semua penjawat awam.

“Menghargai dan menginsafi pengorbanan dan kesungguhan penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, sukacita saya umumkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak dua bulan gaji kepada semua penjawat awam yang berada di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri,” kata Aminuddin.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Mohd Zafir Ibrahim mewakili seluruh penjawat awam Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas beberapa insentif khas untuk penjawat awam negeri seperti diumumkan dalam pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2025 pada Jumaat.

“Selain bonus, penghargaan kepada Kerajaan Negeri yang bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi Skim Pinjaman Kenderaan Tanpa Faedah dan RM50,000 bagi Pinjaman Komputer Tanpa Faedah pada tahun 2025, khas bagi penjawat awam.

“Selaras dengan tema Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2025 iaitu ‘Bersama Membina Negeri MADANI’, saya menyeru agar semua penjawat awam di Negeri Sembilan bersama-sama berganding bahu memberikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik bagi mengukuhkan kegemilangan negeri demi kesejahteraan rakyat selaras dengan seruan pucuk pimpinan negeri.

“Berusahalah dengan lebih gigih lagi untuk mempertingkat produktiviti, tatakelola, nilai integriti dan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Teruskan komitmen kita sebagai penjawat awam bagi mendukung aspirasi Kerajaan Negeri demi menjadikan Negeri Sembilan sebagai model sebuah negeri maju yang bersatu padu, bertoleransi, saling menghormati, bertamadun dengan ekonomi yang mampan dan kehidupan rakyat aman makmur serta sejahtera,” kata Mohd Zafir.

“Kerajaan Negeri Sembilan membentangkan Belanjawan 2025 dengan mengekalkan tema 'Bersama Membina Negeri Madani' merupakan belanjawan berimbang dengan anggaran hasil dan belanja mengurus sebanyak RM590 juta.