Seremban, 5 Julai 2024 (Korporat SUKNS) – Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS), Dato’ Mohd. Zafir Ibrahim merasmikan Pesta Buku Negeri Sembilan dan Dekad Bahasa Kebangsaan Tahun 2024 yang diadakan di Mydin Seremban.
Bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan tahun ini, PPANS turut mengadakan beberapa pertandingan antaranya Pertandingan Semarak Pantun antara Jabatan Kerajaan Negeri Sembilan, Pertandingan Pidato Bahasa Melayu dan Battle of Qasidah. Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan merupakan satu langkah proaktif KPM dalam menjenamakan semula Bulan Bahasa Kebangsaan, yang mana pelbagai kegiatan kebahasaan dan kesu¬sasteraan telah dilaksanakan di seluruh negara bagi memperkasa dan memartabatkan Bahasa Kebangsaan.
Sementara itu, Pesta Buku Negeri Sembilan Tahun 2024 yang berlangsung di Pusat Beli belah Mydin, Seremban 2 dijangka dapat menarik kehadiran lebih 15,000 orang pengunjung. Pesta buku ini merupakan anjuran PPANS bermula 3 hingga 7 Julai ini, disasar menjadi pesta buat seisi keluarga untuk mendapatkan pelbagai genre buku di samping mengikuti beberapa aktiviti di bawah satu bumbung.
Menurut Dato’ Mohd. Zafir Ibrahim berkata, sasaran kehadiran pengunjung tersebut realistik apatah lagi tempoh penganjurannya berlangsung selama lima hari berbanding tahun-tahun sebelumnya.
"Saya percaya akan berlaku peningkatan daripada segi jumlah pengunjung ke pesta buku pada tahun ini iaitu sehingga lebih 15,000 pengunjung berbanding 10,000 pengunjung yang direkodkan pada tahun sebelum ini," katanya.
Mohd Zafir yang juga berkata penganjuran pesta buku berkendan bertepatan dengan objektif menjadikan negeri ini sebagai sebuah negeri yang berilmu.
"Bukan itu sahaja, ini membuktikan komitmen yang diberikan oleh pihak penganjur amat padu manakala objektif pelaksanaan pesta buku tercapai dengan jayanya yang mana mendapat sambutan hebat daripada pelbagai pihak," katanya.
"Penganjuran pesta buku yang telah dilakukan oleh PPANS ini juga dapat merapatkan hubungan sesama pengarang, penerbit dan semua pemegang taruh dalam industri buku demi memperkasakan industri buku tanah air.
"Selain ia dapat menjadi himpunan yang mengeratkan hubungan antara penulis dan membentuk jaringan penulis yang saling bekerjasama memikirkan bagaimana mahu menghasilkan karya-karya berkualiti demi pembentukan pemikiran masyarakat," katanya lagi.
Turut hadir memeriahkan majlis Ahli EXCO Kerajaan Negeri Sembilan, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan Puan Hajah Jamilah @ Chumila Katis, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka Puan Fauzilahyatun Mustafa serta Ketua-ketua Jabatan Negeri Sembilan.