BELANJAWAN2023

Seremban, 1 Disember 2022 (Korporat SUKNS) - Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan sebulat suara meluluskan Belanjawan Negeri 2023 bertemakan ‘Melunas Janji, Menggalas Harapan’ bagi mengimbangkan keperluan sara hidup dan mengukuhkan ekonomi yang berdaya saing. Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 yang memperuntukkan perbelanjaan RM550 juta, anggaran hasil RM450 juta, belanjawan pembangunan bernilai RM130 juta serta belanjawan defisit sebanyak RM100 juta dibahaskan selama tiga hari bermula 25 Nov lepas membabitkan 36 Ahli DUN.

Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata Belanjawan 2023 Negeri Sembilan merangkumi sektor pembangunan sosial, pertanian, infrastruktur, kerohanian, pentadbiran dan pelancongan selain akan terus diperkasa bagi memastikan rakyat dibantu mengharungi isu peningkatan kos sara hidup dan jaminan bekalan makanan.

Sementara itu, Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson ketika sesi penggulungan berkata kerajaan negeri menambah peruntukan bagi Jabatan Pengairan dan Saliran daripada RM10.13 juta pada 2022 kepada RM11.9 juta untuk tahun depan bagi projek pengurusan tebatan banjir dan lembangan sungai.

Untuk rekod katanya sebanyak RM39.55 juta (59.69 peratus) daripada keseluruhan peruntukan pembangunan berjumlah RM66.26 juta telah diperuntukkan untuk tujuan itu bagi tempoh 2018 hingga 2023.

“Kerajaan Negeri mengutamakan kebajikan rakyat dalam menangani dan mencegah insiden banjir menerusi peruntukan tahunan yang disediakan khusus bagi menyelenggara sistem perparitan dan lembangan sungai,” katanya.

Bagi menghadapi bencana di negeri ini juga, peruntukan luar jangka bernilai RM2 juta pada tahun depan diperuntukkan berbanding RM500,000 pada 2022 selain menerusi Akaun Amanah Permasalahan Rakyat, Akaun Amanah Bencana dan Akaun Amanah Dana Khas Menteri Besar.

Persidangan DUN Negeri Sembilan ditangguhkan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.