BELANJAWAN2023

Seremban, 26 NOVEMBER 2022 (Korporat SUKNS) - Kerajaan Negeri Sembilan membentangkan Belanjawan 2023 bertemakan Melunas Janji Menggalas Harapan yang menyediakan sembilan bidang tumpuan dengan 64 inisiatif bagi membantu rakyat.

Fokus bidang tumpuan itu adalah Jaminan Bekalan Makanan, Ekonomi Rakyat, Pendidikan, Kebajikan, Pemerkasaan Komuniti, Belia dan Wanita, Kerohanian dan Agama, Adat dan Pelancongan serta Pentadbiran.

“Pelbagai bantuan kewangan, pemberian tunai, insentif bukan kewangan dan bantuan sokongan telah direncanakan oleh Kerajaan Negeri untuk dimanfaatkan oleh rakyat.

“Sukacita saya umum sebanyak 64 inisiatif melibatkan peruntukan RM107 juta akan dilaksanakan dalam Belanjawan 2023 untuk negeri ini. Sebanyak 42 inisiatif sedia ada akan dikekalkan atau ditambah baik dan 22 inisiatif baharu diperkenalkan,” katanya lagi. “Sektor pendidikan diperuntukkan sebanyak RM18.68 juta, kebajikan mengekalkan tujuh inisiatif (RM2.74 juta), pemerkasaan komuniti (RM36.68 juta) serta belia dan wanita (RM6.2 juta),” katanya.

Belanjawan 2023 Negeri Sembilan merupakan belanjawan defisit sebanyak RM100 juta, merupakan belanjawan defisit untuk tahun ketiga berturut-turut yang dibentangkan sejak Belanjawan 2021.

Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, belanja mengurus pada tahun hadapan adalah sebanyak RM550 juta berbanding anggaran hasil berjumlah RM450 juta manakala peruntukan bagi perbelanjaan pembangunan pula adalah sebanyak RM130 juta.

“Sungguhpun merupakan tahun ketiga pembentangan belanjawan secara defisit, namun belanjawan dibuat secara bersasar dan masih dalam batas keupayaan rizab tunai negeri.

“Belanjawan defisit ini juga merupakan salah satu intervensi Kerajaan Negeri dalam merangsang ekonomi domestik berdasarkan model Input-Output yang dibangunkan.

“Hasil kajian mendapati secara umumnya, setiap 1.0 peratus peningkatan nisbah perbelanjaan mengurus cenderung untuk menjana 1.3 peratus KDNK negeri,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2023 pada Persidangan Keempat (Belanjawan), Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14.

Menurutnya, hasil cukai dijangka menyumbang sebanyak RM159.84 juta atau 35.52 peratus pada tahun hadapan manakala hasil bukan cukai pula dijangka menyumbang sebanyak RM227.96 juta atau 50.66 peratus.

“Terimaan bukan hasil pula dijangka akan diperolehi dijangka sebanyak RM62.20 juta ringgit atau 13.82 peratus.

“Hasil bukan cukai terus menjadi penyumbang utama melalui pelbagai hasil tanah, faedah pelaburan, caj air mentah, permit dan premium perhutanan.

“Penetapan anggaran hasil ini diunjurkan dengan teliti dan realistik setelah mengambil kira pelbagai indikator ekonomi seperti bilangan permohonan Kebenaran Merancang di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan perluasan hasil,” katanya.

“Sukacita saya umumkan kutipan hasil negeri sehingga 12 tengah hari tadi adalah berjumlah RM444 juta atau 102.78 peratus iaitu melebihi RM100 juta bagi kutipan untuk tempoh sama tahun lepas. Ini merupakan pencapaian hebat dan membanggakan. Terima kasih kepada semua,” katanya.

Terdahulu, persidangan DUN turut merakamkan ucapan tahniah kepada Ahli Parlimen Tambun Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikan sebagai Perdana Menteri ke10 selain mendoakan kesihatannya untuk terus membangunkan negara.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut mengumumkan bantuan khas kewangan sebulan setengah gaji atau minimum RM2,500 kepada kira-kira 5,599 penjawat awam di negeri itu yang akan dibayar pada awal Januari dan minggu pertama April tahun depan. Bantuan Khas ini bagi menghargai perkhidmatan yang diberikan penjawat awam dalam menambah baik urus tadbir kerajaan dan sentiasa komited menggalas tanggungjawab masing-masing.

“Kita hadapi tahun yang sukar sebelum ini akibat pandemik COVID-19. Sungguhpun berhadapan dengan risiko jangkitan, penjawat awam tetap tabah menunaikan amanah bagi memastikan pencapaian perkhidmatan terus berjalan demi kesejahteraan rakyat.

Persidangan DUN Negeri Sembilan yang bermula hari ini hingga 1 Dis depan akan bersambung Selasa.