5001

Port Dickson, 24 November 2022 (Korporat SUKNS) – Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan menganjurkan acara perdananya, Minggu Saham Amanah Malaysia 2022 (MSAM 2022), di Port Dickson, Negeri Sembilan. Acara tahun ini yang berlangsung dari 24-30 Nov, diadakan secara fizikal sekali lagi selepas berlangsung secara maya pada 2020 dan 2021. Acara itu akan mengekalkan tumpuan yang sama terhadap pendidikan pelaburan yang disampaikan secara interaktif dan maklumat hibur dengan tujuan untuk mendidik dan memperkasakan rakyat Malaysia dengan pengetahuan tentang pelaburan dan perancangan kewangan.

MSAM 2022 padat dengan aktiviti pendidikan pelaburan dan pameran oleh kira-kira 50 peserta pameran daripada kumpulan syarikat PNB, ejen Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), badan kawal selia dan agensi kerajaan negeri. MSAM 2022 juga akan menawarkan pengunjung pelbagai hadiah bernilai lebih RM1 juta seperti kereta elektrik Hyundai Kona, Toyota Corolla Cross, Perodua Alza dan banyak lagi.

MSAM akan terus mengekalkan beberapa aspek digital yang diperkenalkan semasa acara maya seperti e-pendaftaran. Masuk adalah percuma dan PNB menyasarkan penyertaan 150,000 pengunjung terutama dari sekitar Negeri Sembilan dan lokasi lain yang berdekatan. Untuk acara tahun ini, Malayan Banking Bhd, Sime Darby Plantation Bhd dan UMW Holdings Bhd adalah rakan kongsi korporat dalam kategori Rakan Premier, manakala SP Setia Bhd, Sime Darby Bhd, Sime Darby Property Bhd, Malaysian Industrial Development Finance Bhd, MNRB Holdings Bhd dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd dalam kategori Rakan Utama. Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd dan Duopharma Biotech Bhd adalah dalam kategori Rakan. Rakan korporat ini adalah penyumbang utama kepada sumber pendapatan PNB, juga akan dipamerkan kepada pengunjung.

Orang ramai boleh melihat sendiri kekuatan syarikat tempat wang mereka dilaburkan melalui unit amanah yang diuruskan oleh ASNB.