merdekaMeriah

Seremban, 1 September 2022 (Korporat SUKNS) – Sambutan Hari Kebangsaan ke-65 peringkat Negeri Sembilan kembali meriah dengan kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung selepas dua tahun tidak diadakan secara terbuka kerana penularan COVID-19.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, berangkat mencemar duli pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Sembilan yang berlangsung di Padang Majlis Bandaraya Seremban.

Keberangkatan baginda berdua disambut oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Dr. Razali Ab Malik. Baginda tiba kira-kira pukul 8.15 pagi juga disambut dengan lintas hormat helikopter jenis Agusta A109 LOH yang dikoordinasi Tentera Darat Malaysia dengan membawa Jalur Gemilang dan bendera Negeri Sembilan.

Istiadat kawalan kehormatan utama (KKU) terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota dari Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diketuai oleh Mejar Muhammad Asyraf Nazarudin manakala Pegawai Panji-Panji ialah Leftenan Mohd Amir Suhaimi dan Sarjan Mejar Rejimen ialah Pegawai Waran 1, Zazulamin Zulkifli. Istiadat KKU diiringi oleh Pancaragam Gabungan Pusat Latihan Tentera Darat (PUSASDA) dan Batalion Ke-24 RAMD yang dipimpin oleh Sarjan Azuan Zakaria.

Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan ikrar Rukun Negara yang diketuai Menteri Besar manakala doa dibacakan oleh Mufti Negeri Sembilan, Dato’ Mohd Yusof Ahmad.

Bertemakan Seutuh Tiang di Tengah Ruang, sambutan diserikan dengan beberapa persembahan termasuk tarian dan bacaan puisi yang diselaraskan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan (JKKNNS). Majlis berlangsung dengan penuh meriah dengan perarakan sebanyak 81 kontinjen merangkumi 5,000 peserta menyertai perbarisan sambutan berkenaan. Perbarisan terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah dan institut pengajian tinggi serta syarikat swasta. Perarakan turut membabitkan aset artileri Tentera Darat Malaysia (TDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Sementara itu, Aminuddin ketika ditemui media berkata, pihaknya berpuas hati dengan lebih 10,000 orang yang hadir menyaksikan persembahan dan perarakan sempena sambutan itu.

"Tahun ini kita melakukan penambahbaikan dan kehadiran orang ramai pada awal pagi menunjukkan semangat patriotisme yang tinggi dalam kalangan rakyat.

“Saya melihat kehadiran rakyat pelbagai lapisan masyarakat yang cukup ramai ke majlis perarakan ini. Alhamdullilah tahniah kepada ibu bapa yang mendidik anak-anak dengan menerapkan jiwa patriotisme.

"Kerajaan negeri berharap sambutan ini dapat dijadikan aspirasi untuk kita semua bersatu padu dan mempertahankan kedaulatan negara," katanya.