idam

Seremban, 22 Ogos 2022 (Korporat SUKNS) – Empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Sembilan muncul antara yang terbaik daripada 101 PBT di seluruh negara. Empat PBT terbabit ialah Majlis Daerah Rembau (MDR), Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) dan Majlis Daerah Jelebu (MDJ).

Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun yang berbangga atas anugerah itu berkata, MDR berjaya menerima anugerah Bandar Berdaya Huni Tertinggi 2021 oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan tersenarai antara 10 bandar berdaya huni tahap tertinggi. "Indeks Daya Huni Malaysia (iDAM) adalah kaedah pengukuran berimpak tinggi yang mengukur tahap kesejahteraan penduduk di peringkat PBT dan komuniti. "Diterajui oleh KPKT, iDAM adalah selaras dengan pengukuran dan penilaian kesejahteraan penduduk sesebuah bandar yang dipraktikkan di peringkat global," katanya dalam kenyataan di sini.

Aminuddin berkata, pihaknya yakin pengiktirafan dan anugerah itu akan dapat menaikkan semangat kakitangan PBT di Negeri Sembilan dalam merancang serta melaksanakan perkhidmatan terbaik untuk kesejahteraan penduduk setempat.

iDAM yang dibangunkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia). iDAM menjadi antara indikator penting dalam perkembangan dan pembangunan ekonomi sesebuah kawasan untuk meningkatkan tahap kesejahteraan penduduk peringkat kawasan PBT. Selain itu, iDAM mengukur tahap daya huni di peringkat PBT untuk meningkatkan tahap kesejahteraan rakyat dengan fasa pertama pelaksanaannya melibatkan 101 PBT di Semenanjung Malaysia yang telah menggunakan sistem MurniNet.

Kerangka pengukuran iDAM dalam fasa pertama menggunakan 23 indikator dan akan diperkukuh hingga 45 indikator yang akan dikenal pasti dalam fasa seterusnya. Kerangka tersebut berasaskan kepada enam kriteria utama iaitu ekonomi makmur dan berdaya saing, kualiti persekitaran mampan dan selamat, komuniti sejahtera, guna tanah dan penggunaan sumber yang berkesan, infrastruktur asas berkualiti dan tadbir urus bandar yang efisien.

iDAM juga akan membantu meningkatkan penarafan Malaysia dalam Global Liveability Index yang sekali gus mampu menarik pelabur dan ekspatriat menghantar anak-anak belajar di Malaysia. iDAM akan meletakkan Malaysia di pentas dunia seiring dengan negara luar yang mempraktikkan pengukuran dan penilaian kesejahteraan penduduk di sesebuah bandar seperti Economist Intelligence Unit (EIU) di United Kingdom, Mercer di Amerika Syarikat dan Monocle di Eropah. Sementara itu, daya huni bermaksud kawasan atau penempatan itu berupaya memenuhi keperluan kehidupan dari aspek ekonomi, pendidikan, kesihatan, keperluan asas, infrastruktur, persekitaran hijau yang bersifat lestari dan kalis masa depan.