citfPilah

Seremban, 29 MAC 2022 (Korporat SUKNS) - Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun telah menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2022 di Masjid Lambar, Labu. Majlis sambutan diadakan di Masjid Kampung Lambar, Labu, iaitu salah sebuah masjid di negeri ini yang menggunakan sumber air bawah tanah. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Razali Ab Malek, Ahli-ahli EXCO, Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan.

Aminuddin berkata, sumber air bawah tanah berpotensi dibangunkan sebagai alternatif bagi mengurangkan kebergantungan pada sumber air permukaan. Langkah itu penting bagi menangani risiko perubahan iklim global yang boleh menggugat bekalan sumber air. Beliau sekali gus memberikan contoh banjir di Negeri Sembilan pada Disember tahun lalu menyebabkan bekalan air bersih di Kampung Puom, Jelebu, terjejas. Antara sumber air alternatif yang boleh diterokai dan dimanfaatkan kini ialah air bawah tanah yang terdapat dalam lapisan akuifer bawah tanah iaitu terbentuk secara geologikal melalui batu, pasir dan kerikil yang menampung air dalam kuantiti yang banyak.

"Secara purata, enam peratus daripada 971 bilion meter padu air setahun yang diterima melalui hujan, akan meresap ke dalam tanah dan menjadi air tanah," katanya sempena sambutan Hari Air Sedunia yang bertemakan iaitu 'Melestarikan Sumber Air - Memanfaatkan Air Bawah Tanah'.

Beliau menjelaskan, potensi air bawah tanah perlu dikaji untuk dijadikan sumber baharu air negara.

"Pengurusan air yang cekap dan bersepadu harus dilaksana bagi memastikan sumber berharga ini dapat kekal digunakan generasi akan datang. Bagi memastikan sumber ini kekal dan boleh digunakan secara mapan, pengurusan air yang bersepadu serta cekap harus dilaksanakan.

"Justeru, beberapa inisiatif dan perancangan digariskan demi masa depan air bawah tanah, yang akan membabitkan dua peringkat utama, iaitu Pembangunan Teras dari 2021 hingga 2030 dan Pembangunan Eksponen dari 2031 hingga 2040.

"Secara tuntas, saya berharap seluruh jabatan dan agensi di Negeri Sembilan sentiasa menggembleng usaha serta memahami kepentingan merealisasikan pengurusan sumber air secara bersepadu," katanya.

Pelbagai aktiviti telah diadakan sempena Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2022 termasuk pertandingan kuiz dan pameran dari agensi berkaitan bagi memberikan kefahaman serta kesedaran kepada orang awam terutama fungsi-fungsi agensi terbabit dalam menguruskan air secara bersepadu.

Pada majlis itu, Aminuddin turut melancarkan Buku Mewah (Coffee Table Book) bertajuk 'Melestarikan Sungai Anugerah Berharga' yang mengandungi maklumat jaringan sungai telah didaftarkan di seluruh Negeri Sembilan serta video pembelajaran bertajuk 'Alamat Sungai'.

Katanya, bahan bacaan dan tontonan video tersebut dapat memberikan pengetahuan kepada orang awam mengenai sungai-sungai berhampiran rumah mereka sekali gus mengetahui kesan daripada aktiviti-aktiviti yang dilakukan di rumah mereka kepada sungai.