SEMARAKKAN SEMANGAT MALAYSIA PRIHATIN PERANGI COVID

Seremban, 13 Ogos 2021 (Korporat SUKNS) – Semangat Malaysia Prihatin perlu disemarakkan bersama-sama anggota barisan hadapan dalam memerangi wabak COVID-19 di negara ini, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Aminuddin Harun. Beliau berkata sikap prihatin serta kerjasama yang ditunjukkan rakyat di negeri ini dapat membantu negara dalam memulihkan semula ekonomi dan mengubah kehidupan agar menjadi lebih baik.


Tema Malaysia Prihatin sangat signifikan dalam menyeru seluruh rakyat di negeri ini bersama-sama memerangi penularan wabak COVID-19 yang berlarutan hingga ke hari ini. Rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat merupakan wira tidak didendang. Mereka tampil memberikan bantuan serta sokongan tidak berbelah bahagi tanpa mengira kaum, agama serta fahaman politik membuktikan bahawa seluruh rakyat boleh bersatu ketika susah dan senang,” katanya ketika berucap pada Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sembilan 2021 di Seremban.


Aminuddin berkata slogan Malaysia Prihatin perlu disematkan dalam ingatan bagi mengukuhkan asas-asas perpaduan, keharmonian serta kesejahteraan dalam kalangan rakyat di negeri ini dan perlu dipraktikkan dengan keazaman dan usaha bersungguh-sungguh. Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri disambut meriah menerusi siaran secara dalam talian oleh Jabatan Penerangan Negeri Sembilan di Facebook, Twitter dan Instagram. Sambutan dimeriahkan dengan pelbagai program dan pertandingan secara dalam talian termasuk Info On Wheels Merdeka (IOW Merdeka), Merdeka@Komuniti, Pertandingan Pidato Kenegaraan dan Pertandingan Fotografi KLIK@Merdeka.


Sementara itu, Aminuddin turut menggalakkan orang ramai supaya membudayakan amalan mengibar Jalur Gemilang dalam kehidupan tanpa menunggu sambutan Hari Kebangsaan.


“Apabila kesedaran ini sudah ada dalam diri setiap individu maka ia bermakna kita telah berjaya menjiwai kemerdekaan negara ini," katanya.