bantuan hari raya

 

Seremban, 29 April 2021 (Korporat SUKNS) – Kerajaan Negeri Sembilan hari ini mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan sempena Aidiltri sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada 5,843 penjawat awam negeri itu yang akan dibayar pada 3 Mei ini. Menteri Besar Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata pemberian bantuan itu melibatkan peruntukan berjumlah RM9.9 juta membabitkan kakitangan di bawah kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun negeri.

“Keputusan ini dicapai dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri minggu lepas dan kita berharap dengan adanya pemberian bantuan khas kewangan ini, akan meningkatkan lagi komitmen, kesungguhan dan motivasi penjawat awam untuk memberikan yang terbaik untuk negeri.

“Pemberian ini juga secara langsung memberikan indikator bahawa beban tugas yang semakin ditanggung, peranan dan jentera pentadbiran dalam memastikan tugasan mereka dapat dilaksanakan,” katanya kepada selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri.