5,397 PENJAWAT AWAM NS TERIMA BANTUAN KHAS
Seremban, 27 November 2020 (Korporat SUKNS) --Seramai 5,379 penjawat awam di bawah Pentadbiran kerajaan Negeri bakal menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 yang akan dibayar selewat-lewatnya minggu kedua Januari 2021.
 

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Dr. Razali Ab Malik berkata, Pentadbiran Kerajaan Negeri berterima kasih atas beberapa insentif khas untuk penjawat awam negeri seperti diumum dalam pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2021.

Selain itu, katanya, untuk kali keduanya penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang layak diberi kemudahan pinjaman komputer dan kenderaan tanpa faedah.

"Ini pengiktirafan dan penghargaan kerajaan negeri kepada penjawat awam negeri yang sentiasa memberikan komitmen tinggi dan kecemerlangan perkhidmatan dalam memajukan negeri ini.

"Kerajaan Negeri juga memberikan peruntukan bagi memantapkan penyampaian perkhidmatan melalui kemudahan infrastruktur e-governance dengan jumlah RM4.4 juta bagi membolehkan urusan pentadbiran dijalankan dalam talian lebih menyeluruh," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, penjawat awam negeri sentiasa memainkan peranan penting bukan sahaja untuk memutuskan rantaian Covid-19 tetapi juga merancakkan semula pertumbuhan ekonomi negeri yang terjejas akibat pandemik ini.

"Saya menyeru semua penjawat awam bersama-sama berganding bahu memberikan perkhidmatan terbaik dalam norma baharu, bagi mengembalikan semula kegemilangan negeri demi kesejahteraan rakyat.

"Berusahalah dengan lebih gigih lagi mempertingkatkan produktiviti dan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Dato’ Seri Aminuddin Harun ketika mengumumkan perkara itu pada pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan (2021) 2020 (Belanjawan 2021) Negeri Sembilan berkata BKK ini bagi menghargai perkhidmatan yang diberikan oleh penjawat awam dalam memastikan jentera pentadbiran negeri terus beroperasi walau dalam situasi yang serba mencabar ini.

"Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada penjawat awam yang sentiasa mencurahkan khidmat bakti kepada kerajaan dan rakyat, BKK ini akan diberikan kepada semua penjawat awam yang berada di bawah pentadbiran negeri.

"Diharap bantuan kewangan khas ini dapat memberikan sokongan dan dukungan kepada penjawat awam di samping membantu merancakkan aktiviti ekonomi tempatan," katanya pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini.

Kerajaan Negeri Sembilan hari ini membentangkan belanjawan yang bertemakan 'Merangsang Ekonomi Memperkasa Rakyat', meliputi empat strategi dan lapan bidang tumpuan membabitkan peruntukan berjumlah RM560 juta berbanding RM457 juta pada Belanjawan 2020.