PEMBANGUNAN AGAMA ISLAM DI NEGERI SEMBILAN

Pembangunan Agama Islam di Negeri Sembilan turut berperanan penting dalam memacu pembangunan negeri. Majlis Agama Islam Negeri Sembilan sebagai penerajui utama dalam pembangunan Agama Islam begitu komited pengurusannya dengan memperincikan peranan dan tanggungjawab dalam setiap rangkaian agensi sokongan yang lain seperti Baitulmal, Pusat Zakat, dan Perbadanan Wakaf. Kejayaan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) hari ini adalah didorong oleh komitmen dan pengurusan yang baik serta fleksibel. Baik dari segi pengurusan zakat, pengagihan kutipan zakat, bantuan dan sumbangan kepada para asnaf yang lapan menghasilkan impak yang positif dalam menjurus arah memperkukuhkan ekonomi umat Islam di negeri ini. Ini jelas apabila kutipan zakat semakin meningkat melalui pelbagai individu mahupun syarikat-syarikat dari luar Negeri Sembilan juga melalui peruntukan dana sumber am.

MAINS juga memastikan institusi Islam di negeri ini berdiri dengan tonggak kejayaan disamping memastikan misi dan visi MAINS untuk menjadi sebagai sebuah institusi terunggul Islam dengan wujudnya Kompleks MAINS yang menjadi lambang kebanggaan umat Islam di Negeri Sembilan hari ini.

Begitu juga dengan pembinaan masjid-masjid di Negeri Sembilan sama ada melalui peruntukan MAINS sendiri ataupun pembinaan secara wakaf. Banyak masjid-masjid didirikan bersesuaian dengan kehendak semasa sama ada di kawasan bandar mahupun di luar bandar. Malah pihak MAINS turut menubuhkan Perbadanan Pengurusan Masjid bagi memastikan penyelenggaraan masjid-masjid terutama dari segi kebersihan dapat diuruskan dengan sempurna.

Pengwujudan Pegawai-Pegawai Eksekutif Masjid jelas menampakkan kelangsungan usaha di dalam memastikan anak-anak bangsa yang berpendidikan tinggi terutama dalam bidang agama diberikan tanggungjawab dan kepercayaan di dalam pengurusan masjid-masjid yang banyak dibina di Negeri Sembilan. Mengimarahkan masjid dengan fokus utama menyatupadukan ahli-ahli kariah begitu diberikan penekanan. Jelas, usaha ini menampakkan keberhasilannya apabila masjid kini kembali menjadi tumpuan masyarakat dengan kepelbagaian aktiviti dianjurkan.

Bagi membantu ekonomi masyarakat Islam umpamanya, Wakaf Mart turut didirikan di masjid-masjid yang dibina. Sejak beroperasinya Wakaf Mart, permasalahan masyarakat yang tertekan dengan kenaikan harga barangan, sedikit sebanyak mampu diatasi. Begitu juga dengan bekalan barangan yang ada ketikanya sukar untuk diperolehi, Wakaf Mart berperanan melalui koperasi yang ditubuhkan untuk cuba mengatasi masalah yang dihadapi masyarakat.

Klinik-klinik Wakaf An-Nur, turut memberikan bantuan perubahan kepada golongan-golongan yang kurang berkemampuan. Malah di klinik berkenaan, turut disediakan Pusat Dialysis percuma.

Kini, Klinik Pakar Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia melalui Perbadanan Wakaf Negeri Sembilan telahpun dibuka di Nilai yang menyediakan banyak kemudahan rawatan bagi masyarakat ramai terutamanya yang kurang berkemampuan. Usaha ini adalah kolaborasi antara Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Universiti Sains Islam Malaysia.

Kelas Agama Petang (KAP), semakin mendapat tempat di hati para ibubapa. Tidak lagi janggal kewujudan KAP walaupun di awal penubuhannya dahulu pernah mendapat tentangan hebat segelintir masyarakat yang tidak memikirkan kesan jangkapanjangnya. Malah kini, KAP telah dibuka di sekolah-sekolah Bantuan Modal Aliran Cina. Setiap tahun diadakan Khatam Al-Quran secara serentak di setiap daerah di seluruh Negeri Sembilan sebagai mengiktiraf penyertaan setiap murid yang bersungguh-sungguh menyertainya sepanjang berada di sekolah kebangsaan.

Di peringkat guru-gurunya pula, jaminan diberikan oleh pihak kerajaan terutama dari segi pembayaran elaun bulanan dan kursus-kursus meningkatkan kemahiran. Malah, golongan yang mempunyai ilmu pendidikan agama ini, terpanggil untuk menjadi tenaga penganjar yang sekaligus mampu memberikan peluang pekerjaan kepada mereka.