citfPilah

Seremban, 21 Februari 2022 (Korporat SUKNS) - Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun telah menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Semula Restoran A&W Seremban dan Kafe Jamaica Blue di Taman Tasik Seremban. Aminuddin berkata, Restoran A&W di Seremban yang diberi nafas baharu dengan pengubahsuaian berkonsepkan moden retro memberi nilai tambah kepada bandar berkenaan sebagai salah satu tarikan yang ikonik.

“Restoran A&W di Seremban ini satu-satunya bangunan lama yang masih dikekalkan sejak dibuka pada 1978 dan banyak meninggalkan nostalgia kepada masyarakat di sini.

“Tentunya, konsep retro ini sesuai dengan imej A&W yang telah lama menjadi tempat lepak kegemaran orang ramai selama beberapa dekad,” katanya.

Beliau berkata pembukaan restoran A&W itu turut membantu meningkatkan ekonomi Negeri Sembilan sekali gus memberi peluang kerjaya kepada masyarakat setempat dengan seratus peratus kakitangannya merupakan penduduk sekitar. Aminuddin juga turut mengajak pemain industri terutamanya usahawan perniagaan makanan dan minuman untuk memanfaatkan strategi inovasi dan kreativiti bagi menjadikan Negeri Sembilan sebagai syurga makanan terkenal.

Sementara itu, pengendali jenama restoran makanan segera, A&W Malaysia Sdn. Bhd. (A&W) menyasarkan pembukaan lebih 150 cawangan baharu di seluruh negara menjelang 2025, melibatkan peruntukan sebanyak RM75 juta. Ketua Pegawai Eksekutifnya, George Ang berkata, untuk tahun ini, syarikat merancang untuk menambah 25 cawangan baharu terutamanya di Sabah dan Sarawak.

“Kami sudah mempunyai 70 cawangan A&W di Semenanjung dan salah satu pelan pengembangan syarikat adalah untuk membuka cawangan baharu di Malaysia Timur. Menjelang 2025, kami perlu mencapai sasaran membuka lebih 150 cawangan di seluruh negara, selaras dengan visi dan misi syarikat untuk meluaskan jenama ini,” katanya.

Menurut George, pihaknya menyasarkan jualan bernilai RM200 juta tahun ini menerusi 95 cawangan A&W di seluruh negara. Tambahnya, konsep moden retro yang yang diketengahkan restoran A&W, selain pengenalan menu-menu baharu diyakini dapat meningkatkan jualan.

“Dalam masa terdekat sempena Hari Raya Aidilfitri dan bulan Ramadhan, kami akan memperkenalkan menu baharu berasaskan cita rasa Melayu.

“Selain itu, pembukaan Kafe Jamaica Blue yang pertama di cawangan A&W Seremban ini merupakan salah satu kerjasama strategik syarikat untuk menawarkan kepelbagaian kepada pelanggan,” ujarnya.