DahulukanKepentinganNegara

 

Seremban, 14 JANUARI 2023 (Korporat SUKNS) - Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah pemimpin yang diberikan mandat oleh rakyat perlu mempunyai keikhlasan tinggi untuk berkhidmat demi rakyat dan meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan sendiri.

Baginda bertitah ini kerana konflik dan budaya politik yang sempit secara berterusan hanya akan memperlihatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak stabil dan rapuh.

"Walaupun dalam kalangan kita wujud perbezaan agenda dan ideologi, namun beta yakin tentu ada persamaan terutama dalam agenda pembangunan dan kebajikan rakyat bagi membentuk negara yang lebih makmur," titah baginda.


Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat bersempena Hari Keputeraan Ke-75 baginda di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, dekat sini, hari ini.

Turut berangkat ke majlis itu, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud, Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin.

Tuanku Muhriz bertitah momentum pemulihan ekonomi Negeri Sembilan pada 2021 dilihat terus ampuh dengan pertumbuhan positif tiga peratus berbanding rekod penyusutan pada tahun sebelumnya, menerusi usaha proaktif kerajaan negeri menangani cabaran pasca COVID-19 serta penyusunan strategi bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi secara inklusif.

Tuanku Muhriz turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri kerana berjaya merekodkan pencapaian jumlah kutipan hasil yang begitu baik iaitu RM521 juta sepanjang 2022, melebihi sasaran awal sebanyak RM432 juta.