BELANJAWAN2023

Port Dickson, 7 Disember 2022 (Korporat SUKNS) - Kerajaan Negeri Sembilan hari ini melancarkan dokumen Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan (RPNS) 2021-2025 dan Pelan Ekonomi Digital Negeri Sembilan 2027 (PEDNS 2027) sebagai dokumen yang menggariskan pelaksanaan dasar pembangunan semua sektor ekonomi negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, RPNS 2021-2025 menyediakan hala tuju intervensi dasar yang melangkaui 2025 di mana sebahagiannya bersifat jangka panjang seperti pembangunan dan pengoperasian aktiviti ekonomi pemangkin di wilayah Lembah Wawasan Malaysia (MVV).

Kerangka RPNS 2021–2025 dibentuk supaya komprehensif dan menjadi faktor kepada kemajuan ekonomi setempat yang memanfaatkan sepenuhnya sumber tempatan, mengurangkan jurang perbezaan kualiti hidup penduduk bandar dan luar bandar. Rancangan pembangunan ini juga memperkasakan infrastruktur, kemudahan sokongan, kesinambungan dan akses kepada teknologi dan perkembangan dunia semasa dan memperkasakan modal insan tempatan untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing negeri,” katanya demikian pada Majlis Pelancaran Dokumen RPNS 2021-2025 dan Dokumen PEDNS 2027 di Port Dickson.

“Tiga tema utama tersebut adalah kemampanan ekonomi, kesejahteraan dan kemakmuran rakyat serta kelestarian alam sekitar. Manakala dua pemangkin dasar memberi tumpuan kepada usaha membangunkan infrastruktur, kemudahan awam dan perkhidmatan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) serta memperkemaskan tadbir urus dan penyampaian sektor awam,” katanya.

Dalam perkembangan sama, menurut Aminuddin, kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama Perunding Kajian Roland Berger juga telah menyediakan PEDNS 2027 sebagai pelan tindakan di peringkat negeri berpandukan kepada Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM).

“Matlamat utama penyediaan PEDNS 2027 adalah bagi memastikan pelaksanaan RTEDM di peringkat nasional dijajarkan dengan sebaiknya di peringkat negeri sekali gus membuka ruang dan peluang kepada semua golongan masyarakat di Negeri Sembilan.

“Pelan ini akan dijadikan sebagai rujukan dalam menetapkan sasaran pencapaian negeri bagi tempoh lima tahun akan datang melalui penetapan bidang keutamaan sejajar dengan hala tuju pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan termasuk Pelan Stategik Pendigitalan (PSP) dan perancangan lain yang dikenal pasti,” katanya.

Dalam pada itu, tambahnya, sasaran terpilih yang disasarkan oleh kerajaan negeri melalui RPNS 2021-2025 adalah pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.5 peratus berbanding pencapaian 2016-2019 sebanyak 2.6 peratus.

“Manakala KDNK Per Kapita sebanyak RM46,534 berbanding pencapaian 2016-2019 sebanyak RM41,079 dan guna tenaga sebanyak 501,813 orang berbanding pencapaian 2016-2019 sebanyak 474,100 orang,” katanya.

RPNS 2021-2025 mengandungi 13 bab dengan tiga tema iaitu kemampanan ekonomi, kesejahteraan serta kemakmuran rakyat dan kelestarian alam sekitar serta disokong oleh dasar yang antaranya menumpukan usaha membangunkan infrastruktur dan kemudahan teknologi maklumat manakala kandungan utama PEDNS 2027 terbahagi kepada empat komponen utama iaitu ekosistem ekonomi digital di Negeri Sembilan, visi dan hala tuju, struktur tadbir urus serta kajian keberkesanan dan perancangan masa hadapan.