rentas

Seremban, 10 Oktober 2022 (Korporat SUKNS) – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir menyeru para ilmuan agama dan pendakwah di negeri itu untuk meneliti metodologi dakwah yang bersesuaian dalam menangani pelbagai isu agama dihadapi masyarakat, khususnya generasi muda.

Baginda bertitah perkara itu adalah amat penting dalam menghadapi kehidupan moden dengan teknologi maklumat dan dunia yang lebih terbuka.

Titah baginda, Allah SWT telah memberikan garis panduan yang terangkum dalam al-Quran mengenai tatacara melaksanakan seruan ke arah kebaikan dengan menegaskan kaedah yang dapat memperkasa intelektualisme dakwah dan membawa kesejahteraan kepada masyarakat.

"Ia meliputi pendekatan dakwah dengan hikmah, memberi pengajaran dan peringatan yang baik serta perdebatan dengan cara tertib dan sopan. Sehubungan itu, masyarakat perlu memperoleh kebaikan dengan cara yang betul berpandukan ajaran Islam yang sebenar.

"Pengajaran dan peringatan yang disampaikan secara berhemah mempunyai manfaat sehingga dapat meninggalkan kesan yang mendalam kepada hati orang yang diseru, di samping berupaya mendekatkan mereka tertarik kepada agama Islam," titah baginda ketika berucap pada Majlis Maulidur Rasul peringkat negeri di Masjid Negeri, Seremban di sini yang dihadiri kira-kira 1,000 jemaah.

Tuanku Muhriz bertitah, Islam sewajarnya dilindungi dan dikembangkan melalui pendekatan secara terhormat dan dilaksanakan tanpa paksaan, tekanan dan kekerasan.

Baginda juga menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Aminuddin Harun serta seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Negeri dengan kesungguhan ditunjukkan bagi memastikan kemajuan dan pembangunan Islam negeri itu sentiasa berada di landasan yang tepat.