wakaf

 

Seremban, 6 April 2022 (Korporat SUKNS) - Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Negeri Sembilan 2022 di Seremban. Majlis yang bertemakan ‘Wakaf Membentuk Ummah Bertakwa’ turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Razali Ab Malek, Ahli-ahli EXCO serta Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan.

Aminuddin dalam ucapannya menyeru ketua-ketua jabatan kerajaan dan swasta serta masyarakat di Negeri Sembilan mengambil inisiatif dalam pemotongan gaji serendah RM5 sebulan bagi kempen potongan gaji wakaf tunai di negeri ini. Beliau menyifatkan usaha itu dapat meningkatkan kutipan wakaf di negeri ini serta hasilnya lebih ramai masyarakat dapat berkongsi manfaat daripada projek wakaf yang dibangunkan oleh MAINS.

“Wakaf terhadap umat Islam adalah penting kerana kita sedia maklum wakaf ini memberikan satu perkara yang amat besar dalam perkembangan syiar Islam dan merupakan satu perkara terpuji yang harus disuburkan kembali dalam masyarakat.” “MAINS menjadi peneraju utama dalam wakaf ini jadi kita berharap dengan adanya majlis penerangan dapat memberikan maklumat kepada umat Islam di negeri ini,” katanya

Sementara itu, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) telah memperoleh kutipan dana wakaf keseluruhan berjumlah RM2.99 juta pada tahun lalu. Pengerusi MAINS, Dato’ Dr. Abdul Aziz Sheikh Ab. Kadir berkata, dana wakaf yang disumbangkan itu akan diagihkan kepada empat sektor utama iaitu kesihatan, pendidikan, sosioekonomi dan pengembangan harta wakaf.

“Antara manfaat wakaf yang telah disalurkan oleh MAINS meliputi pembelian mesin hemodialisis, pembinaan pusat tahfiz dan madrasah, pembelian peralatan perubatan kepada Klinik Pakar Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta pembelian komputer bagi kegunaan pelajar sekolah di Negeri Sembilan.

“Kami telah agihkan lapan unit mesin hemodialisis kepada Hospital Tuanku Ja’afar yang boleh memanfaatkan lebih kurang 390,000 pesakit bukan sahaja yang beragama Islam tetapi bukan Islam hasil daripada wakaf tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Negeri Sembilan 2022 di sini.

Menurut Abdul Aziz, MAINS berperanan membudayakan semula amalan wakaf selain menggalakkan pengurusan wakaf yang lebih bersistematik dan produktif untuk kepentingan agama dan pembangunan ummah di negeri ini.

“Dengan dana wakaf juga, beberapa projek kini dalam pembinaan meliputi projek Masjid Wakaf Taman Politeknik melibatkan kos RM3.5 juta, pembinaan Pusat Hemodialisis Wakaf An-Nur, Rembau bernilai RM900,000 dan pembinaan Sekolah Menengah Seri Islam, Seremban,” katanya. Jelas beliau, pelbagai produk yang berasaskan wakaf telah diperkenalkan oleh MAINS antaranya Wakaf Tunai dan Wakaf Harta.

“Wakaf boleh dibayar secara tunai atau melalui perbankan dalam talian serendah RM1 dan boleh juga dibuat melalui potongan gaji serendah RM5 sebulan bagi semua kakitangan kerajaan dan swasta,” katanya.

Pada majlis itu juga, Kaunter Bergerak MAINS turut dilancarkan.