citfPilah

Seremban, 14 Februari 2022 (Korporat SUKNS) - 1.  DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan mencemar duli menyempurnakan pelancaran Lagu Identiti Negeri Sembilan. Turut berkenan berangkat ke majlis tersebut DYMM Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan anakanda baginda YAM Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan YAM Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz. Keberangkatan baginda sekeluarga disambut oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Dato’ Seri Aminuddin Harun dan isteri Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof.

Hadir sama Undang Yang Empat dan Dato’ Syahbandar Sungai Ujong. Majlis yang berlangsung secara sederhana dan ringkas itu dihadiri kira-kira 300 orang termasuk kenamaan, ahli-ahli EXCO serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ketua-ketua jabatan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, lagu identiti Negeri Sembilan tersebut adalah projek kerajaan negeri dalam memastikan negeri ini mempunyai satu identiti khas dalam bentuk lagu yang mengangkat keunikan negeri yang kaya dengan budaya tersendiri itu.

“Projek ini adalah rakaman dan nyanyian semula sebuah lagu asal dan penghasilan lima lagu baharu menonjolkan identiti Negeri Sembilan di bawah seliaan komposer terkenal, Fauzi Marzuki. Ia telah dicetuskan oleh Tuanku Muhriz yang menitahkan supaya nyanyian Datuk Aishah iaitu Lambaian Negeri dirakam dan dinyanyikan semula tanpa mengubah sebarang susunan muzik dan lirik.

“Melalui penghasilan album ini, kerajaan negeri berharap rakyat di negeri ini dan Malaysia khususnya dapat mengenali budaya Negeri Sembilan melalui lirik, susunan muzik dan keharmonian yang wujud melalui dendangan lagu tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Lagu Identiti Negeri Sembilan.

Menurut Aminuddin, produk akhir bagi projek berkenaan adalah menerusi penghasilan album lagu identiti Negeri Sembilan. 

“Tunku Zain Al-‘Abidin merupakan Penasihat Kehormat bagi pelaksanaan dan penghasilan projek lagu ini. Album Lagu identiti Negeri Sembilan mengandungi enam buah lagu iaitu Lambaian Negeri (Dato’ Aishah), Orang Kito (Ito), Pepatih Pepitih (Ewal), Dirgahayu Yang di-Pertuan Besar (Fitri), Nogori (Waris) dan Moh Dogheh (Dato’ Aishah),” katanya. 

Moh Dogheh juga merupakan lagu rasmi bagi sektor dan industi pelancongan Negeri Sembilan dan boleh dimuat turun melalui platform Spotify, iTunes, JOOX dan YouTube. Antara penulis lirik yang terlibat adalah Hairul Anuar, Ito, Lokman Ghani (Lokgha), Mulyazi dan Waris.

Projek itu turut mendapat kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Negeri Sembilan.