NS KECUALIKAN SEWA GERAI 2 BULAN UNTUK PENIAGA
Seremban, 10 Februari 2021 (UKIK)
--
Kerajaan Negeri Sembilan memutuskan untuk memberikan pengecualian bayaran sewa gerai selama dua bulan bermula Januari bagi meringankan beban kewangan peniaga.

Menteri Besar Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata pengecualian berkenaan yang memanfaatkan seramai 4,165 peniaga di tujuh kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini, membabitkan peruntukan hampir RM1 juta. Keputusan ini adalah bagi membantu peniaga yang terkesan berikutan pandemik COVID-19.

“Kerajaan Negeri sedar peniaga dan penjaja kecil antara golongan yang menerima kesan langsung daripada penularan wabak pandemik Covid-19 dan penguatkuasaan PKP. Justeru, kerajaan negeri bersetuju mengecualikan bayaran sewa gerai di semua PBT bagi bulan Januari dan Februari tahun ini.”

Majlis Bandaraya Seremban melibatkan pengecualian cukai sewaan tertinggi untuk 1,564 peniaga diikuti Majlis Perbandaran Port Dickson (597), Majlis Perbandaran Jempol (511), Majlis Daerah Tampin (489), Majlis Daerah Kuala Pilah (375), Majlis Daerah Jelebu (371) dan Majlis Daerah Rembau (258).