Seremban, 5 Julai 2022 (Korporat SUKNS) - Perjanjian sempadan darat di antara Selangor dan Negeri Sembilan pada Isnin berjaya menyelesaikan jajaran sempadan darat di antara dua negeri itu pada jarak sepanjang 111.9 kilometer. Jajaran sempadan darat bermula dari titik pertemuan sempadan di antara tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang serta berakhir di muara Sungai Sepang. Titik akhir sempadan negeri itu juga akan dijadikan sebagai titik permulaan bagi kedua-dua negeri berkenaan untuk memulakan rundingan sempadan maritim hingga ke laut wilayah negeri. penandaan dan pengukuran sempadan kedua-dua negeri itu adalah berdasarkan Selangor Government Gazette bertarikh 5 November 1909 dan Boundary Agreement Between Selangor and Sungei Ujong yang ditandatangani pada 10 Februari 1878.

Perjanjian Sempadan Darat di antara Negeri Selangor dan Negeri Sembilan itu ditandatangani Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Exco Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Ahmad yang mewakili Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun. Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Rosli Isa, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Sembilan, Dato’ Muhamad Nahar Mohd Sidek dan Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia, Mohammad Zaki Mohd Ghazali.

Penentuan jajaran sempadan yang jelas antara dua negeri itu akan turut membolehkan aktiviti penguatkuasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dijalankan dengan berkesan bagi mencegah berlaku pencerobohan tanah dan penerokaan sumber secara tidak sah. Pengurusan serta pembahagian hasil-hasil sumber asli di kawasan-kawasan sempadan juga akan dapat dilaksanakan dengan cekap bagi manfaat penduduk di kedua-dua negeri.

Kejayaan memuktamadkan jajaran sempadan darat di antara Selangor dan Negeri Sembilan tidak akan dapat dicapai tanpa komitmen dan kesungguhan tinggi daripada pasukan kerja ukur JUPEM yang melaksanakan kerja-kerja penandaan dan pengukuran di lapangan. Pasukan terbabit telah memulakan kerja-kerja penandaan dan pengukuran dari 5 Mei 2016 hingga siap sepenuhnya pada 17 Mac 2018 iaitu mengambil masa hampir dua tahun.