PANTAI INDAH, BEBAS SAMPAH @PORT DICKSON
Port Dickson, 11 Julai 2020 (UKIK) -- Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun telah melancarkan Kempen Kebersihan Pantai dengan tema 'PD Pantai Indah, Bebas Sampah' di Pantai Saujana, Port Dickson. Menurut beliau kerajaan negeri berhasrat menjadikan Port Dickson, ikon bandar pelancongan terbaik kerana pantai itu menjadi tumpuan orang ramai yang datang beriadah dan keadaan ini akan menyebabkan pengunjung lain tidak selesa. Justeru, para pengunjung yang datang beriadah bersama keluarga di pantai Port Dickson diingatkan agar menjaga kebersihan kawasan sekitar selepas berkelah.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun juga berkata, orang ramai seharusnya lebih bertanggungjawab dan tidak meninggalkan sampah di tempat mereka beriadah. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibuka, kawasan pantai antara tumpuan orang ramai tetapi menyedihkan kerana mereka meninggalkan sampah selepas berkelah bersama keluarga.

"Bukan sahaja kawasan pantai, kita ada gunung, hutan lipur dan banyak lagi kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai dan saya mahu mereka (pengunjung) tidak meninggalkan sampah di lokasi mereka beriadah. Untuk tujuan itu, kempen kebersihan pantai akan berterusan setiap masa," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya permintaan pengusaha riadah air untuk beroperasi di kawasan pantai, pihaknya sedang menunggu arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan mereka beroperasi.

"Bukan kita tidak membenarkan sukan air atau riadah air ini beroperasi tetapi ia dalam peringkat akhir bagi menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang selamat untuk orang ramai. Harap pengusaha sukan air ini bersabar seketika, demi keselamatan semua pihak.

"Kerajaan negeri memahami masalah ini dan mereka (pengusaha sukan air) boleh beroperasi semula selepas Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) menyediakan SOP yang akan digunakan pengusaha sukan air ini," katanya.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Razali Ab Malik dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.