rentas

Seremban, 4 Ogos 2022 (Korporat SUKNS) – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula 9 Ogos ini, kata Menteri Besar Dato’ Seri Aminuddin Harun. Beliau berkata antara fokus utama persidangan tersebut adalah membincangkan langkah menangani kos sara hidup yang membebani rakyat ketika ini.

“Pastinya ada usul daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengenai kos sara hidup selain pelantikan Senator sebab sekarang ada satu kekosongan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco.

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri bersedia mengadakan Sidang Khas DUN bagi membentangkan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang bergantung kepada tempoh proses RUU berkenaan diwartakan di peringkat Persekutuan.

Beliau berkata kesemua ADUN telah bersetuju mengenai pelaksanaan RUU itu untuk dilaksanakan dengan segera setelah diwartakan.

“Kami telah diberikan taklimat oleh Penasihat Undang-Undang Negeri mengenainya, selepas ia diwartakan barulah dibentangkan di DUN, kalau sempat di peringkat Pusat (warta), kita buat sidang khas sekurang-kurangnya dua hari.

“Kalau tidak, paling lewat ketika sidang DUN November ini, tengok kesesuaian, namun bergantung kepada proses. Kita tak tahu berapa lama (selesai di peringkat Persekutuan),” katanya.

Aminuddin sebelum ini dilaporkan berkata Kerajaan Negeri Sembilan tidak mempunyai sebarang masalah untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri bagi membolehkan RUU berkaitan larangan ADUN bertukar parti, dikuatkuasakan.