citfPilah

Tampin, 10 Mac 2022 (Korporat SUKNS) - Restoran makanan segera, McDonald’s yang dibuka di Tampin merupakan restoran yang ke-302 di negara ini dan yang ke-12 di Negeri Sembilan tampil dengan keunikan tersendiri apabila bangunannya mengambil seni bina bumbung panjang iaitu rumah tradisional Negeri Sembilan. Ini menjadikan satu-satunya restoran McDonald’s dalam negara berkonsepkan sedemikian rupa dan antara restoran McDonald’s setingkat terbesar di negara ini. Pembinaan bangunan ini turut mendapat khidmat nasihat serta rujukan daripada pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) bagi mengetengahkan keunikan seni bina negeri ini.

Bagi tujuan meningkatkan kemahiran kognitif dan keyakinan diri golongan kanak-kanak istimewa, sebuah Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald (RMSR) telah diwujudkan di restoran makanan segera McDonald Tampin. Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun telah menyempurnakan Majlis Perasmian McDonald’s Tampin dan Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Razali Ab Malek, Ahli-ahli EXCO dan ketua-ketua jabatan negeri.

Beliau berkata pembukaan restoran makanan segera tersebut, selain membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat akan bakal menjadi tarikan pelancongan di daerah ini.

“Sebelum ini, tapak restoran ini merupakan tapak Rumah Rehat Tampin yang sudah lama tidak beroperasi. Justeru, Kerajaan Negeri mempelbagaikan hasil dengan mewujudkan kerjasama dengan Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd. untuk menjadikan lokasi strategik ini sebagai tarikan pelancongan”

Menurut Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan Mcdonald’s Malaysia, Dato’ Azmir Jaafar berkata, bilik terapi sensori berkenaan disediakan khas untuk kanak-kanak istimewa khususnya daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Sehingga kini, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC) Malaysia telah membangunkan sebanyak 35 cawangan buah bilik terapi sensori di seluruh negara dengan kos tajaan lebih dari RM4 juta. Ia telah memanfaatkan lebih daripada 7,000 orang kanak-kanak istimewa termasuk di Sabah dan Sarawak.

Pada majlis berkenaan juga McDonald’s Malaysia turut menyerahkan bayaran zakat korporat bernilai RM180,000 kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang diwakili oleh Pengerusi MAINS, Dato’ Dr. Abd. Aziz Sheikh Ab. Kadir.

Sementara itu, Ahli Terapi Cara Kerja RHMC, Muhammad Yusof Abdul Kadir berkata, RMSR di Tampin berkenaan boleh digunakan mengikut sesi selama 45 minit dengan had tiga kanak-kanak dalam satu-satu masa. Menurutnya, kemudahan berkenaan mempunyai dua bilik iaitu satu bilik sensori iaitu bilik rawatan dan kedua ialah bilik menunggu.

“Bilik rawatan dikendalikan oleh ahli terapi bertauliah dan dilengkapi dengan peralatan-peralatan yang merangsang deria. Dalam bilik ini, boleh membantu merangsang tujuh jenis deria yang membantu perkembangan kognitif dan pembelajaran,” katanya.