citfPilah

Seremban, 27 Disember 2021 (Korporat SUKNS) – Seramai 2,024 ketua isi rumah di Negeri Sembilan yang terjejas banjir baru-baru ini, sudah menerima bantuan wang tunai RM1,000 setakat ini. Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun mereka yang menerima bantuan itu membabitkan 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terjejas iaitu Repah, Gemencheh, Sikamat, Lenggeng, Johol, Mambau, Nilai, Rantau, Ampangan, Kota, Klawang, Labu, Chennah, Pertang dan Chembong.

“Kerajaan Negeri sedar rakyat yang terkesan dengan banjir sangat memerlukan bantuan segera. Setakat ini, kita sudah menyalurkan bantuan wang tunai berjumlah RM1,000 kepada 2,024 ketua isi rumah, membabitkan dana lebih RM2 juta.”

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerja membaik pulih infrastruktur di sebahagian kawasan terjejas sudah hampir selesai seperti di Port Dickson, Seremban dan Rembau.

"Kerja ini diteruskan di kawasan lain dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Daerah dan Tanah. "Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus berusaha menangani kesan banjir ini terutamanya dalam jangka masa panjang," katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan peruntukan tambahan RM12j juta bagi menangani kesan banjir, merangkumi bantuan kepada ketua isi rumah sebanyak RM5 juta, kerja baik pulih infrastruktur jalan dan jambatan rosak (RM5 juta), baik pulih rumah (RM1 juta), lain-lain bantuan keperluan asas (RM700,000) dan kerja-kerja pembersihan RM300,000.

Sementara itu, bilangan mangsa banjir di Negeri Sembilan yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 128 orang pagi ini berbanding 141 orang, semalam.