PERKHIDMATAN PTGNS NS DITAMBAH BAIK

Seremban, 20 September 2021 (Korporat SUKNS) – Kerajaan Negeri Sembilan menambah baik perkhidmatan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Sembilan (PTGNS) di Wisma Negeri dengan menggunakan kaedah janji temu bagi mengelakkan kesesakan sekali gus terdedah kepada risiko jangkitan wabak COVID-19 yang masih menular. Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, kaunter pendaftaran PTGNS di sini menerima jumlah pelanggan yang tinggi sejak beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara.

"Keadaan itu menyebabkan kesesakan sehingga wakil pejabat peguam, syarikat agensi mahupun orang perseorangan beratur sejak awal pagi bagi mendapatkan nombor giliran.

"Sehubungan itu, bagi menambah baik perkhidmatan, PTGNS menggunakan kaedah janji temu khusus untuk firma guaman, juru ukur, penilai swasta, pemaju, agensi swasta dan kaedah 'walk-in' bagi individu," katanya dalam sidang akhbar selepas selesai Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.

Menurutnya, penyediaan kawasan menunggu sementara yang lebih tersusun juga telah disediakan bagi memastikan pelanggan mematuhi SOP penjarakan fizikal. Dalam pada itu, Aminuddin berkata, pelaksanaan janji temu itu melibatkan wakil peguam, syarikat, juru ukur, penilai swasta dihadkan kepada 40 giliran pada Isnin hingga Khamis dan 28 giliran pada Jumaat.

"Individu juga dihadkan kepada 40 giliran pada Isnin hingga Khamis manakala pada Jumaat pula hanya 30 giliran sahaja. Satu firma guaman hanya dibenarkan membuat satu janji temu sehari, terhad kepada lima serahan dan setiap serahan terhad kepada 10 hak milik.

"Ini bermakna, setiap hari 200 serahan yang melibatkan sehingga 2,000 hak milik daripada firma guaman akan diproses. Perkhidmatan carian rasmi, persendirian dan kutipan hak milik boleh dibuat semasa mendapat giliran. Permohonan janji temu adalah melalui e-mel di alamat Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. dan maklumat lengkap tentang peraturan ini boleh disemak dan dirujuk melalui laman sesawang dan Facebook rasmi PTGNS," katanya.

"Cadangan penyediaan peti penyerahan dokumen juga sedang dikaji bagi memastikan pelaksanaannya tidak akan menyulitkan pelanggan seperti dokumen terlerai, hilang dan sebagainya," katanya.

Pentadbiran kerajaan negeri juga dalam proses menempatkan tambahan pegawai dan kakitangan di PTGNS dalam tempoh sebulan dengan menempatkan sementara pegawai berkaitan dari Pejabat Tanah dan Daerah yang lain bagi membantu menyelesaikan tugas-tugas yang tertunggak serta dokumen harian yang bertambah. Kerajaan Negeri komited untuk mengatasi situasi ini dan menjangkakan keadaan semasa akan kembali reda menjelang November ini. Pada masa sama, pendekatan yang lebih efisien juga sedang diteliti dan dibangunkan termasuk urusan dalam talian dan transaksi tanpa sentuh (contactless transaction).