terachi dodol

 

Kuala Pilah, 13 April 2021 (Korporat SUKNS)Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud berkenan mencemar duli bagi program Santapan Tengah hari Bersama Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan di Perkampungan Budaya Terachi, Kuala Pilah. Turut berangkat dua putera baginda Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan YAM Tunku Zain Al’Abidin.

Keberangkatan keluarga diraja disambut oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Aminuddin Harun serta isteri Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Dato’ Dr. Razali Ab Malik.

Sementara itu, Kerajaan Negeri Sembilan komited untuk menjadikan Kuala Pilah sebagai lokasi pelancongan yang baharu di negeri ini. Menteri Besar Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata ini kerana daerah itu terkenal dengan kawasan gunung dan air terjun yang menggamit kehadiran pelancong selain pelbagai aktiviti turut dirancang termasuk penganjuran pesta ‘Ngoca’ di Perkampungan Budaya Terachi di sini pada September nanti. Menurutnya, pesta yang merupakan aktiviti menangkap ikan di sawah padi yang diadakan setiap tahun itu tertangguh tahun lepas berikutan penularan COVID-19.

Pengisian kita selepas ini bagaimana memastikan perkampungan budaya ini dikenali seantero dunia. Ini satu-satunya tapak pelancongan baharu, sekali gus mampu meningkatkan pendapatan penduduk.

“Usaha lain dibuat ialah aktiviti penanaman padi pulut yang dikenali padi pulut Sri Menanti dan padi biasa yang akan diusahakan penduduk tempatan,” katanya kepada pemberita selepas program Santapan Tengah hari Bersama Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Sebanyak lapan kolam ngoca disediakan di kawasan Skim Pengairan Terachi Batu 17 berkeluasan dua hektar di perkampungan itu. Dalam pada itu, Aminuddin berkata lokasi itu turut menjadi tapak sukan bola sepak sawah pertama di negara ini dan sukan rakyat yang lain yang akan turut menarik kehadiran pelancong berkunjung ke negeri ini selain mereka dapat melawat lokasi pelancongan bersejarah di sini. Pelancong juga boleh melawat Istana Lama Seri Menanti serta rumah adat dan warisan yang masih utuh.