tapak ngoca

 

Kuala Pilah, 26 Mac 2021 (Korporat SUKNS) - Negeri Sembilan menjadi negeri pertama mempunyai tempat khusus untuk aktiviti mengoca atau menangkap ikan sekali gus juga menjadi tapak ngoca bola sepak sawah. Projek berkenaan diilhamkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun untuk dijadikan sebagai salah satu produk pelancongan di negeri tersebut. Sebelum ini, aktiviti mengoca diadakan di lokasi yang dirasakan bersesuaian, namun melihat kepada sambutannya Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menjadikan tapak di Perkampungan Budaya Terachi itu sebagai tapak khas.

Kawasan Perkampungan Budaya Terachi itu juga dibangunkan semula untuk dijadikan sebagai pusat sehenti produk pelancongan di negeri ini. Hampir 12 unit kedai dibina yang menempatkan usahawan industri kecil sederhana (IKS) yang menjual produk dari Negeri Sembilan.

Sebanyak lapan kolam ngoca telah disediakan di kawasan Skim Pengairan Terachi Batu 17 berkeluasan 5.6 ekar di Perkampungan Budaya Terachi di sini. Projek berkenaan yang mula dilaksanakan pada 19 Oktober 2020 siap sepenuhnya pada 4 Februari 2021 lalu dengan kos sebanyak RM450,000. Antara skop kerja yang terlibat adalah pembinaan lapan buah kolam ngoca bersaiz dalam 55mx25m, dataran, membina tali air baru, memasang struktur pintu dan kawalan air.

Sementara itu, Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan telah menjadikan Pesta Ngoca sebagai acara tahunan wajib dalam kalendar pelancongan di Negeri Sembilan. Sekiranya pandemik Covid-19 beransur pulih, acara itu dirancang diadakan pada September ini selepas kali pertama dianjurkan pada tahun 2019. Tarikan utama aktiviti mengoca itu sendiri dan aktiviti adalah antara kesenian dan kebudayaan di negeri ini,

Aktiviti ‘mengoca’ yang lazimnya diadakan selepas habis menuai di sawah padi sejak 70 tahun lalu. ‘Ngoca’ merupakan perkataan dalam dialek Negeri Sembilan yang bermaksud menangkap ikan menggunakan peralatan seperti jala, tangguk atau penapis plastik. Dengan adanya tapak mengoca ini diharap menjadi salah satu tarikan atau simbolik pelancongan untuk program sukan rakyat warisan negeri.