NS SALUR BANTUAN KEPADA INDIVIDU, KELUARGA YANG DIKUARANTIN
Seremban, 16 Oktober 2020 (Korporat SUKNS) -- 
Kerajaan Negeri Sembilan akan menyalurkan bantuan bahan mentah kepada individu termasuk isi rumah yang menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) berkuat kuasa serta merta.  Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, langkah tersebut adalah inisiatif kerajaan negeri bagi membantu individu dan keluarga yang terlibat semasa menjalani kuarantin di rumah. 

“Jika ada sebuah rumah sedang dikuarantin, kerajaan negeri bersetuju menghantar bekalan makanan kepada mereka yang dikuarantin di rumah melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Kementerian Kesihatan akan memaklumkan kepada JKM dan pejabat daerah akan keluarkan bantuan supaya pihak terbabit boleh menghantar bantuan ke rumah yang dikenal pasti,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri.

Tambah Aminuddin, kerajaan negeri juga akan sentiasa mendapatkan laporan semasa daripada Jabatan Kesihatan negeri dan agensi berkaitan sebagai pemantauan sepanjang individu dan keluarga yang terlibat dikuarantin. Pemantauan lebih ketat HSO akan dikuatkuasakan serta-merta dan polis akan memantau individu yang telah diarah untuk menjalaninya.

Sementara itu, katanya, pemilik premis makanan terkenal di Rembau dan Kuala Pilah yang sering mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan diingatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan.  Ini kerana menurut Aminuddin, pihaknya mendapat aduan orang awam memaklumkan ada restoran yang melanggar SOP kerana menerima kehadiran pelanggan yang agak ramai pada satu-satu masa. 

“Banyak laporan yang saya terima baru-baru ini, kedai dan restoran yang terkenal di Pedas, Rembau dan Kuala Pilah yang melanggar SOP kerana kehadiran pelanggan yang ramai, kita lihat SOP itu agak longgar. Jadi, saya berharap pihak premis makanan terbabit mengambil perhatian kerana mereka (pelanggan) bukan sahaja datang dari Negeri Sembilan. Saya khuatir, penularan yang akan memberi kesan di kawasan tersebut dan saya minta semua pihak berwajib memberikan perhatian yang serius di restoran yang terkenal di kawasan terbabit,” katanya.