NS TANGGUH BEBERAPA PROGRAM SEBAGAI LANGKAH BENDUNG COVID-19
Seremban, 15 Oktober 2020 (Korporat SUKNS) -- Kerajaan Negeri Sembilan menangguhkan beberapa program peringkat negeri dan kebangsaan sebagai langkah pencegahan penularan pandemik COVID-19 di negeri ini. Menteri Besar Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, semua jabatan dan agensi kerajaan disaran menilai kembali semua program yang telah dirancang tahun ini.

Antara program yang ditangguhkan katanya, Majlis Penyerahan Insentif Pengeluaran Hasil Tanaman Pasca PKP COVID-19, Konvokesyen Khatam Hafaz Al‐Quran Institut Tahfiz Al‐Quran Negeri Sembilan (ITQAN). Selain itu sambutan Hari Kanak-kanak Peringkat Negeri Sembilan serta Konvensyen Kumpulan Inovasi dan Kreatif (KIK) Horizon Baharu Perpustakaan Awam Se-Malaysia turut ditunda.

“Sekiranya perlu dilaksanakan juga, ia perlulah dalam skala yang amat terkawal dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri.

Beliau turut menggesa semua pengunjung ke jabatan dan agensi kerajaan termasuk swasta memastikan menjalani pemeriksaan suhu dan merekodkan kehadiran mereka termasuk menerusi aplikasi MySejahtera.

“Sekiranya tidak dapat menggunakan aplikasi MySejahtera, pastikan nama dan nombor telefon yang direkodkan secara bertulis adalah benar,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan semua masyarakat dan pemilik premis perniagaan khususnya premis yang menjadi tumpuan orang ramai agar mematuhi SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia, bagi membendung penularan COVID-19.

Bagi individu, keluarga dan kontak rapat yang diarahkan menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO), peraturan sedemikian juga wajib dipatuhi. Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa memantau situasi penularan wabak COVID-19 dan trend peningkatan kes di peringkat nasional.