MAAL HIJRAH : NS HARGAI SUMBANGAN BARISAN HADAPAN
Seremban, 27 Ogos 2020 (Korporat SUKNS) -- Sambutan Hari Kebangsaan 2020 peringkat negeri akan diadakan secara tertutup dengan jemputan terhad dan berskala kecil serta ringkas, bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun, berkata sambutan itu hanya membabitkan orang kenamaan, pemimpin negeri dan ketua jabatan serta petugas barisan hadapan menangani COVID-19.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir serta Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud, akan berangkat mencemar duli pada majlis berkenaan. Selain itu, yang akan turut hadir termasuk Dato’ Syahbandar, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin serta pegawai tertentu saja.

"Sambutan ini diadakan secara tertutup dengan jemputan terhad sekitar 250 orang sebagai mematuhi SOP," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di Bilik Gerakan Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Sambutan itu akan diadakan di Padang Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan hadapan bangunan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata atur cara akan bermula dari jam 7.30 dan berakhir 9.30 pagi, membabitkan acara nyanyian lagu Negaraku, bacaan ikrar Rukun Negara serta doa tanpa perarakan seperti lazimnya.

Beliau meminta warga Seremban dan sekitarnya tidak hadir pada majlis sambutan berkenaan, namun boleh menyaksikannya acara itu menerusi siaran langsung melalui laman sosial Facebook. Sambutan Hari Kebangsaan di peringkat daerah juga tidak dilaksanakan. Bagi mereka yang ingin menyambutnya dengan cara tersendiri seperti mendaki gunung, berbasikal dan sebagainya dibolehkan.

"Bagaimanapun, mereka perlu mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa dan orang ramai harus memahami bahawa negara kita masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Permulihan (PKPP).

"Saya tidak mahu orang ramai melanggar SOP ketika mereka ghairah menyambut Hari Kemerdekaan ini," katanya