387 RIBU KEDIAMAN DI NEGERI SEMBILAN AKAN DIBANCI
Seremban, 13 Julai 2020 (UKIK) -- Sebanyak 387,000 tempat kediaman di Negeri Sembilan dengan 1.16 juta penduduk akan terbabit dalam Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) sejak Selasa lalu sehingga 24 Oktober ini. Objektif pelaksanaan banci adalah untuk mengumpul stok dan profil penduduk serta perumahan yang komprehensif serta terperinci sehingga ke peringkat geografi terkecil.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Dr. Razali Ab Malik berkata Banci 2020 dijalankan dalam dua fasa berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara. Katanya, fasa pertama pembancian bermula 7 Julai hingga 30 September ini membabitkan mod pembancian pengisian soal selidik secara atas talian iaitu e-Census. Hampir 69,000 pemilik akan menerima poskad MyCensus untuk pelaksanaan banci fasa pertama bagi membolehkan isi rumah mengisi soal selidik secara dalam talian. Bagi isi rumah yang tidak menerima poskad itu, pra pendaftaran secara dalam talian untuk mendapatkan maklumat ID bagi mengakses Sistem e-Census di laman sesawang https://ecensus.mycensus.gov.my/.

"Maklumat asas seperti nama, e-mel dan alamat lengkap diperlukan ketika membuat pendaftaran," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan wisma Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Razali berkata, operasi pembancian fasa kedua secara bersemuka akan dilaksanakan mulai 7 hingga 24 Oktober ini melalui Temubual Peribadi Bantuan Komputer (CAPI), Temu Ramah Bertulis (PAPI) dan Serah dan Ambil (DOPU).

Beliau berkata, pihaknya amat menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat yang diperlukan dalam Banci 2020 secara dalam talian, namun bagi penduduk yang tidak mahir dengan cara itu, mereka akan dibanci menerusi kaedah bersemuka.

"Kaedah temu ramah secara bersemuka dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dirujuk kepada Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya

Katanya, maklumat yang dikumpul melalui Banci 2020 ini adalah mengikut Akta Banci 1960 (Disemak 1969) yang mana kandungan soal selidik diterima adalah sulit dan tidak boleh dihebahkan kepada sesiapa atau institusi di luar jabatan.

"Data yang dikumpul melalui banci ini bakal memberi manfaat kepada segenap rakyat dan lapisan masyarakat kerana boleh digunakan oleh pihak kerajaan untuk membuat perancangan dan polisi yang berpaksikan rakyat," katanya.

Razali berkata, terdapat 3,930 jawatan kosong pembanci di Negeri Sembilan membabitkan pengambilan penyelia dan pembanci yang akan bermula pada September dan Oktober ini dan permohonan boleh dibuat dalam talian.

"Sehubungan itu, kerjasama sepenuhnya daripada penduduk Negeri Sembilan amat diperlukan dalam pelaksanaan Banci 2020 ini. Data kependudukan dan perumahan hasil daripada maklumat Banci 2020 akan menjadi input utama kepada agenda nasional dalam merancang pembangunan negeri atau negara," katanya.

Bagi memastikan tahap keselamatan penduduk sentiasa terjamin, pembanci dan pengedar poskad akan menunjukkan kad kuasa pegawai banci serta surat pelaksanaan banci semasa melakukan tugasan berkenaan. Malah katanya, orang ramai juga boleh mengenal pasti petugas banci kerana mereka akan sentiasa memakai uniform rasmi Jabatan Perangkaan bagi mengelakkan berlakunya sebarang penyamaran.