NS LULUSKAN RUU MAJLIS BANDARAYA SEREMBAN
Seremban, 6 Disember 2020 (UKIK) -- Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Bandaraya Seremban (MBS) 2020 bagi mengubah taraf dan menukar nama Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) yang dicantumkan sebagai satu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Usul tersebut dicadangkan Menteri Besar Dato’ Seri Aminuddin Harun dan diluluskan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Zulkefly Mohamad Omar selepas mendapat sokongan sebulat suara ahli dewan.

Penarafan bandar raya itu susulan MBS telah memenuhi kriteria yang ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta percantuman kedua-dua PBT itu bertepatan dengan Seksyen 4(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976. Percantuman itu juga dapat memperkemas pentadbiran Seremban apabila hanya satu PBT yang mentadbirnya selain memastikan MBS mempunyai hasil dan pendapatan lebih tinggi untuk kesejahteraan warganya.

Percantuman ini juga bagi memperkasakan perkhidmatan menyeluruh kepada komuniti serta mempunyai akses kepada kemudahan yang lebih besar di setiap kawasan Seremban. Pencantuman kedua-dua kawasan itu juga dapat memberikan keselesaan dan kemudaham optimum kepada penduduk. Bagi menyediakan bandar raya pintar yang mampan, bersih dan  berdaya maju, MBS komited menyediakan perkhidmatan yang efisien, berkualiti dan telus bagi memastikan kesejahteraan penduduknya tercapai.

Secara keseluruhannya RUU itu mengandungi lima fasal antaranya ialah menetapkan nama enakmen sebagai Enakmen Majlis Bandaraya Seremban 2020 dan berkuat kuasa 1 Jan lepas. Selain itu, RUU ini turut mengandungi peruntukan mengenai perkara dan keputusan yang dilakukan sebagai persediaan ke arah pelaksanaan enakmen itu yang hendaklah dianggap sah dan dibuat oleh MBS.

Dalam pada itu, Ahli DUN Senaling Datuk Adnan Abu Hassan ketika sesi perbahasan RUU itu menyifatkan penubuhan MBS sangat bertepatan selain mampu melonjakkan perolehan peruntukan yang lebih besar daripada Kerajaan Pusat memandangkan Seremban telah bertaraf bandar raya.

“Ini jelas, peningkatan peruntukan ini suatu yang amat baik kepada MB, sudah tentu apabila berlaku peningkatan, taraf hidup rakyat terutama mereka yang tinggal di MBS akan meningkat,” katanya.

Pada 20 Januari lepas, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan mencemar duli mengisytiharkan Seremban sebagai bandar raya dan merasmikan Wisma MBS.

Persidangan ditangguhkan ke tarikh yang akan ditetapkan kelak.