NS PERUNTUK RM500,000 NAIK TARAF HUTAN LIPUR JERAM TENGKEK
Seremban, 25 Ogos 2020 (Korporat SUKNS) -- Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan RM500,000 bagi menaik taraf kemudahan infrastruktur Hutan Lipur Jeram Tengkek yang terletak di Batu Kikir, di sini dalam usaha meningkatkan potensinya sebagai kawasan pelancongan di kawasan timur negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan Teo Kok Seong berkata kerja-kerja naik taraf sudah dimulakan dan dijangka siap pada 21 Oktober ini.

Kerajaan Negeri melihat hutan lipur ini berpotensi untuk dijadikan kawasan tarikan pelancongan di bahagian timur Negeri Sembilan. Keunikan tempat ini bukan sahaja mempunyai air terjun, malah berdekatan dengan Bukit Baginda dan perkampungan Orang Asli untuk dilawati.

“Sudah tentu kita akan mempromosikan tempat ini bagi menarik kunjungan pelancong setempat dan luar dari Negeri Sembilan untuk datang ke sini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke hutan lipur berkenaan di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon.

Dalam tempoh enam bulan tahun ini seramai 2,000 pengunjung direkodkan mengunjungi hutan lipur berkenaan.

Hutan lipur itu yang terletak di Hutan Simpan Serting, kira-kira 30 minit dari pekan Batu Kikir, merupakan hutan Dipterokarp Pamah yang kaya dengan pelbagai jenis tumbuhan selain terdapat jeram yang terbentuk daripada aliran air Sungai Jempol dan Sungai Tanun.

Hutan Dipterokarp Pamah adalah hutan yang terdapat pada ketinggian 300 meter dari paras laut, padat dengan pelbagai jenis pokok seperti Meranti, Balau dan Kapur.