444 Terima Darjah Kebesaran, Bintang Dan Pingat Negeri Sembilan
KUALA PILAH, 24 Jan 2020 - Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Abdul Wahid Omar mengetuai senarai 444 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Negeri Sembilan Hari Keputeraan Ke-72 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir. Abdul Wahid menerima Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang membawa gelaran Dato’ Seri. Selain Abdul Wahid, turut menerima darjah SSNS ialah Pengarah International Science Council Regional Office for Asia and the Pacific, Prof Emerita Datuk Dr. Mazlan Othman.

Tuanku Muhriz turut berkenan menganugerahkan Darjah Datuk Paduka Negeri Sembilan (DPNS) yang membawa gelaran Dato’ kepada 14 penerima iaitu Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Dr. Mohamad Rafie Ab Malek; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri, Mohamad Taufek Abd Ghani dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith.

Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Khidir Majid, Ketua Hakim Syarie Negeri, Abas Nordin, Ketua Polis negeri Datuk Mohamad Mat Yusop, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, Executive Director Of The United Nations Human Set, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, serta Panglima Medan Timur Tentera Darat Kem Muara Tuang, Sarawak Lt. Jen Datuk Zamrose Mohd Zain.

Turut menerima darjah DPNS ialah Naib Canselor UKM Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor, peguam Edlin Ghazaly dan tiga ahli perniagaan iaitu Hassanal Hassan, Datuk Abdul Halim Mohd Tahi, dan Lim Kian Onn.

Tuanku Muhriz juga turut berkenan menganugerahkan Darjah Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Gemilang (DSTM) yang membawa gelaran Dato’ kepada tiga penerima iaitu Ketua Eksekutif Antah Healthcare Group Tunku Mohamed Alauddin Tunku Laxamana Naquiyuddin, bekas Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Dr. Zukri Samat dan Aktivis Kanak-kanak UNCHR dan UNICEF, Dr. Hartini Zainuddin.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan M. Ravi, Pakar Perunding Bedah Kardiotorasik Hospital Serdang, Dr. Mohamad Arif Muhammad Nor dan Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Zainal Abidin Yang Razalli pula adalah antara 20 penerima Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang turut membawa gelaran Dato’.

Sebanyak 17 orang menerima Darjah Setia Negeri Sembilan (DNS) termasuk Dato’ Menteri Sah Mangku Alam Raja Seri, Balai Undang Luak Jelebu, Ismail Mohd Zain, dan Pengarah Bahagian Operasi dan Logistik J4, Kompleks Markas Angkatan Bersama, Kuantan, Kol. Ir Khairul Said Mohd Ali.

Pada tahun ini, pingat Darjah Tuanku Muhriz (DTM) diterima oleh penerima tunggal iaitu Bendahari Kehormat Persatuan Bekas Penuntut Sekolah Menengah King George V, Lee Seng Giap.

Tuanku Muhriz turut berkenan mengurniakan Darjah Pekerti Terpilih (DPT) kepada 13 penerima dan Ahli Setia Negeri Sembilan (ANS) (52 penerima), Setiawan Tuanku Muhriz (STM) (dua penerima), Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (PMC) (107 penerima) dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) (180 penerima).

Seramai 18 orang menerima Pingat Bentara Tuanku Muhriz (BTM) dan 15 orang lagi menerima Pingat Khidmat Lama (PKL).

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran Negeri Sembilan berlangsung di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti.