NS Fest 2019 di Dataran Nilai
Seremban, 7 November 2019 (Korporat SUKNS - Negeri Sembilan mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM422.1 juta sehingga semalam, berbanding RM421.2 juta pada tahun lepas, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Simpanan rizab negeri turut meningkat kepada RM898.8 juta sehingga semalam, berbanding RM687.7 juta pada tahun lepas. Hasil cukai dicatatkan sebanyak RM141.3 juta sehingga semalam berbanding RM136.4 juta pada tahun lepas; hasil bukan cukai sebanyak RM213.2 juta berbanding RM223.3 juta pada tahun lepas manakala terimaan bukan hasil sebanyak RM67.6 juta bebanding RM61.4 juta pada tahun lepas.

“Kita meletakkan sasaran kutipan hasil bagi tahun ini sebanyak RM430 juta. Insyaallah kita akan mencapai sasaran dalam masa terdekat dan berharap akan memperoleh lebih daripada jumlah sasaran yang ditetapkan menjelang 31 Dis,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini hari ini.

Aminuddin berkata peningkatan simpanan rizab negeri itu secara tidak langsung menolak khabar angin yang mendakwa hasil rizab yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu telah habis digunakan oleh pihaknya.

“Hakikatnya simpanan rizab kita meningkat sehingga RM211 juta. Saya harap (pihak berkenaan) menghentikan perkara yang boleh mengelirukan rakyat,” katanya.

Kutipan hasil negeri yang meningkat juga menunjukkan penguatkuasaan dan produktiviti penjawat awam di negeri ini yang semakin meningkat. Peningkatan kutipan hasil juga susulan daripada strategi dan 10 pelan tindakan yang dibuat sebelum ini serta pelaksanaan sistem eletronik e-doket, meningkatkan kemudahan bagi penguatkuasaan seperti menyediakan alat pengukur yang lebih canggih dan kenderaan untuk penguatkuasa yang lebih baik.