Seremban, 3 September 2019 (Korporat SUKNS) - Seramai 15,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2019 peringkat negeri yang berlangsung di Padang Majlis Perbandaran Seremban di sini, seawal 7 pagi.

Sambutan berkenaan turut dimeriahkan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.

Perarakan disertai 5,000 peserta mewakili 104 kontinjen serta perarakan aset pasukan keselamatan unit beruniform.

Kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan 2019 di setiap pelosok negeri membuktikan perpaduan serta semangat patriotisme dalam kalangan rakyat di negara ini tidak pernah luntur dan masih kekal utuh.

Semangat kebersamaan ditampilkan menerusi penyertaan pelbagai kaum dalam acara diadakan hari ini jelas mencerminkan keharmonian dan kemakmuran negara yang dikecapi selama 62 sebelum ini tetap terpelihara. Bertemakan 'Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih', aspirasi Hari Kebangsaan kali ini didukung oleh empat komponen-kenegaraan, ketenteraman awam, keselamatan negara dan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih.