Seremban, 17 Jun 2019 (Korporat SUKNS) - Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Mukhriz Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud berkenan berangkat mencemar duli menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Sembilan.

Keberangkatan tiba baginda berdua diiringi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami yang juga Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun serta isteri Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof.

Turut memeriahkan majlis rumah terbuka itu yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Dato’ Dr. Razali Ab Malik barisan Exco kerajaan negeri, wakil syarikat korporat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Majlis yang bermula pada 11 pagi tadi dihadiri 20,000 pengunjung yang terdiri daripada pelbagai kaum. Pada majlis itu, pelbagai juadah dan hidangan disediakan untuk dinikmati pengunjung yang hadir.