Ahli-EXCO-Kerajaan-NS-Isytihar-Harta
SEREMBAN (31 Julai):
Seramai 186 orang menerima watikah pelantikan sebagai Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) daripada YAB. Menteri Besar Negeri Sembilan, Tuan Haji Aminuddin Harun pada majlis yang diadakan di Dewan Theatrette, Wisma Negeri.

Ahli-ahli Majlis yang dilantik dari kalangan ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO) pelbagai kaum akan berkhidmat untuk tiga majlis perbandaran dan lapan majlis daerah di Negeri Sembilan.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri, YB. Tuan Zulkefly Mohd Omar, Setiausaha Kerajaan Negeri, YB. Dr. Razali Ab. Malik, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, wakil-wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan.

Menteri Besar berkata, pelantikan ini perlu bagi memperkasakan urus tadbir semua PBT agar perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan sentiasa betul, teratur dan berintigriti.

“Pelantikan Ahli Majlis PBT ini adalah bersyarat. Sekiranya terdapat di kalangan mereka yang bermasalah dan dibuktikan oleh pihak keselamatan, mereka yang dikenal pasti akan digugurkan serta merta,” katanya.

Pelantikan Ahli Majlis pada kali ini turut memberi peluang kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) sebagai salah satu usaha kerajaan untuk memberi perhatian terhadap isu-isu berkaitan golongan ini.

“Kerajaan hari ini perlu berubah untuk memudah cara permasalahan di kalangan warga OKU. Mereka yang terpilih ini diharap dapat memberi pandangan yang membina bagi menambah baik tahap penyampaian perkhidmatan tanpa mengira kelas sosial masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.