Sektor Pelancongan di Negeri Sembilan


Memiliki keindahan alam semulajadi sehingga Port Dickson diiktiraf sebagai Bandar Pantai Peranginan Negara oleh Kerajaan Persekutuan menjadikan Negeri Sembilan sebagai lokasi tumpuan pelancong yang datang dari luar dan dalam negara.

Apatah lagi dengan kedudukannya berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan terletak di tengah wilayah antara Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka. Pastinya Negeri Sembilan di antara negeri yang terpilih dalam senarai lokasi percutian yang diinginkan oleh orang ramai untuk mereka beristirehat dan beriadah bersama keluarga terutamanya di hujung minggu dan musim cuti persekolahan.

Populariti pantai peranginan utama negara ini terus meningkat dari semasa ke semasa, lebih-lebih lagi dengan promosi melalui media cyber yang dapat menjangkau khalayak di semua pelusuk dunia.

Kedudukan Port Dickson yang cuma 34 kilometer dari bandar Seremban dilengkapi lagi dengan pelbagai produk pelancongan seperti Muzium Tentera Darat, Pusat Cerapan Baitul Hilal, PD Water Front, Ostrich Farm, Kota dan Muzium Lukut, Hutan Simpan Sungai Menyala, Alive 3D Art Gallery, Kompleks Sejarah Pangkalan Kempas, Homestay Pachitan dan yang terbaru pendakian di Bukit Batu Putih, sekaligus menjadikan Port Dickson berkembang maju sebagai destinasi popular pelancongan negara.
Keindahan pantai yang terhampar luas serta suasana damai yang dirasai bersama dengan keindahan ini, sentiasa menambat hati pelawat untuk berkunjung ke bandar ini bagi melupakan kesibukan kota. Bagi yang berkeluarga, inilah tempat untuk berkelah bersama ahli keluarga dan menjalankan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan sambil bersantai. Kepada pengemar aktiviti lebih lasak, luncur layar, jet ski dan bot laju adalah antara aktiviti kegemaran yang popular.

Negeri Sembilan juga merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai adat terakam dan tersusun yang memperlihatkan adat bersendikan syarak. Keunikan tersendiri yang dimiliki ini turut menyumbang kepada tarikan dan minat di kalangan pelajar dan pengkaji sejarah untuk datang bertumpu di negeri yang bertuah ini.

Bandar Diraja Seri Menanti, adalah produk pelancongan yang dipromosikan di daerah Kuala Pilah yang mana terdapat sebuah istana lama yang dijadikan Muzium Diraja Seri Menanti yang mempamerkan salasilah dan keturunan keluarga diraja Negeri Sembilan serta alat-alat kebesaran diraja yang lain. Keunikan tersendirinya yang sehingga kini menjadi kajian dan penyelidikan ialah bangunannya yang dibina tanpa menggunakan walau sebatang paku.

Negeri Sembilan mempunyai pelbagai tarikan pelancongan yang lain, sama ada dalam bidang eko-pelancongan, mahupun produk pelancongan masyarakat seperti program homestay. Aset-aset eko-pelancongan Negeri Sembilan yang popular di kalangan penggemar keindahan alam semula jadi termasuklah Hutan Rekreasi Ulu Bendul di Kuala Pilah, Hutan Lipur Lata Kijang di Jelebu dan Gunung Datuk di Rembau. Keindahan flora dan fauna di rimba yang melitupi Gunung Angsi juga menjadi destinasi popular pengembara untuk berharmoni dengan alam.

Produk pelancongan yang melibatkan secara langsung pengusaha di kalangan masyarakat desa ialah program homestay yang merupakan antara produk pelancongan yang begitu popular. Di Negeri Sembilan, program Homestay menjanjikan keunikan tersendiri kerana ia memberi peluang kepada pelancong mempelajari budaya hidup masyarakat yang mengamalkan Adat Perpatih ini.

Program homestay di negeri ini boleh didapati di Sembilan buah kawasan termasuk Pelegong, di Labu, Laman Bangkinang, Kuala Pilah, di Lonek, Jempol dan F’Best, Jempol. Masyarakat desa di Gemas dan di Pachitan, Port Dickson turut menyertai program ini dengan menawarkan pelbagai jenis kemudahan untuk keselesaan pengunjung dan pelancong.

Pendekatan yang lebih mesra masyarakat terutama dalam menjalineratkan ikatan silaturrahim turut diperkenalkan melalui Program Homestay. Kerajaan Negeri memperkenalkan program Korban dan Aqiqah kepada pelancong asing terutamanya umat Islam dari Singapura. Sambutan yang diterima adalah begitu menggalakkan yang mana pelancong menyertai program ini datang berkeluarga dengan menaiki kereta api ataupun dengan kenderaan sendiri.

Statistik kedatangan pelancong oleh Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) berdasarkan mereka yang menginap di hotel-hotel dan rumah-rumah penginapan adalah seramai 5.7 juta pada tahun 2015. Jumlah ini menampakkan pencapaian yang besar berbanding tahun sebelumnya iaitu seramai 5.57 juta. Dalam masa tujuh tahun bermula tahun 2015, sektor pelancongan menyumbang sebanyak 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Sembilan.

Bagaimanapun sasaran pada tahun 2017, pencapaian jumlah pengunjung akan dilonjakkan lagi melalui beberapa program yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri. Di samping itu, usaha sedang dilaksanakan ke arah menjadikan anggota perkhidmatan awam sebagai duta pelancong secara keseluruhannya.

Kerajaan Negeri telah menetapkan bahawa Seremban dan Port Dickson menjadi dua daerah utama untuk dimajukan dengan industri pelancongan. Daerah-daerah lain pula menjadi pelengkap kepada usaha menarik pelancong ke negeri ini.

 

Pautan Agensi

Pautan Negeri

Capaian Terus