Pembentangan_Belanjawan_2018
SEREMBAN:
Kerajaan Negeri Sembilan mencatatkan belanjawan berimbang berjumlah RM412 juta bagi tahun 2018 dengan pertambahan sebanyak 5.37 peratus berbanding pada tahun sebelumnya.

Menteri Besar NegerI Sembilan Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan berkata demikian ketika pembentangan belanjawan pada Persidangan Hari Pertama (Belanjawan) Penggal Ke-5 Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-13.

Menurutnya, pertambahan berkenaan adalah merupakan sumbangan utama daripada hasil cukai dan bukan cukai.

Anggaran perbelanjaan mengurus yang diperuntukkan dalam belanjawan 2018 meliputi emolumen sebanyak RM155.630 juta, perkhidmatan dan bekalan (RM87.901 juta), perolehan aset (RM3.859 juta), pemberian dan bayaran tetap RM160.109 juta serta perbelanjaan lain RM4.501 juta.

Bagi pelaksanaan agenda pembangunan negeri, sebanyak RM115.763 juta diperuntukkan bagi tujuan 2018 yang juga merupakan peruntukan pembangunan terbesar dalam belanjawan di negeri ini sejak lima tahun lalu.

Peruntukan ini akan diagihkan mengikut enam sektor iaitu pembangunan sosial (RM38.44 juta); infrastruktur (RM25 juta); pertanian (RM15.7 juta); pentadbiran (RM21.8 juta); kerohanian (RM9 juta) dan pelancongan (RM5.8 juta).

Menteri Besar yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Rantau, berharap agar pembentangan belanjawan ini dapat memberikan keyakinan kepada setiap lapisan masyarakat untuk meletakkan komitmen bersama ke arah merealisasikan hasrat memodenkan Negeri Sembilan menjelang tahun 2045.

Menurutnya, hasil sedang dituai dalam setiap usaha yang telah dilaksanakan selama ini. Menerusi mandat yang diberikan oleh rakyat, kerajaan berjaya mentadbir Negeri Sembilan dengan cemerlang berteraskan Memakmurkan Negeri, Mensejahterakan Rakyat.


Pautan Agensi

Pautan Negeri

Capaian Terus