KLiP_MOBILE_Ulu_Kelaka

15 Jun (Khamis) - KliP Mobile di bawah Program Strategi Lautan Biru (NBOS) peringkat Negeri Sembilan hari ini menawarkan khidmatnya di Balairaya Kampung Ulu Kelaka, Jelebu.

Seramai 65 orang penduduk di kalangan penduduk tempatan dan yang tinggal di kawasan kampung berhampiran tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan khidmat rawatan yang ditawarkan secara percuma.

Mereka yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan peringkat usia itu mendapatkan rawatan seperti pemeriksaan darah tinggi, kencing manis dan mata. Turut juga di klaangan mereka mendapatkan rawatan awal seperti demam, batuk dan selsema yang dikategorikan di bawah pesakit luar.

Bagi pesakit yang menerima rawatan pakar mata, mereka adalah di kalangan yang telah dikenalpasti oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, manakala bagi pesakit walk-in pula akan disaring terlebih dahulu sebelum rawatan dan pemeriksaan lanjutan dibuat.

Menurut Dr. Maimunah binti Abdul Muna’aim yang merupakan doktor pakar mata dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata, terdapat lima orang pesakit yang telah membuat pemeriksaan telah dikenalpasti mengalami penyakit diabetes.

“Penyakit mereka ini dikenalpasti melalui pemeriksaan mata yang dilakukan dan dengan sokongan daripada pihak kami, mereka akan dirujuk ke bahagian pakar mata di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk mendapat rawatan lanjut,” katanya.

Sebelum ini sebanyak lima destinasi penjelajahan KliP Mobile telah diadakan iaitu di Balai Raya Sg.Timun, Astana Raja (Rembau), Balairaya Kg Ulu Yoh, Ayer Mawang (Tampin), Kg. Pelegong, Labu (Seremban), Kg Kepis Baru, Johol (Kuala Pilah) dan Dewan Budaya Felda Pasoh 2 (Jempol).

Di bawah Program NBOS KliP Mobile, sebanyak dua pasukan menawarkan perkhidmatan kesihatannya yang terdiri daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) iaitu dengan kerjasama Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dengan membawa kepakaran Klinik Pakar Mata Bergerak dan Unit bergerak Klinik Kesihatan Jelebu di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.

Turut berkolaborasi, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan dengan membuka kaunter untuk mendapatkan pelbagai jenis bantuan.

Antara jenis bantuan yang diberikan termasuklah memperbaharui kad kenal diri dan bantuan alat bahan tiruan bagi Orang Kurang Upaya (OKU) dan permohonan bantuan kewangan bagi yang berkelayakan.

Gabungan usaha bagi penganjuran program ini disertai juga oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Pejabat Daerah Jelebu, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Jawatankuasa Kuasa Keselamatan Kemajuan Kampung (JKKK).

Berita Oleh: Juriyati Mat Jalil


Pautan Agensi

Pautan Negeri

Capaian Terus