SEJARAH AWAL PEMERINTAHAN NEGERI SEMBILAN

 

Dalam budaya masyarakat Melayu, seorang Raja diinterpretasikan sebagai simbol perpaduan dan pelindung kepada rakyat jelata di bawah naungannya. Pada sekitar abad ke-15 hingga ke-16, Negeri Sembilan merupakan sebuah negeri di bawah naungan Kerajaan Melayu Melaka sehinggalah berakhirnya pemerintahan Sultan Mahmud Shah yang tewas kepada Portugis pada 24 Ogos 1511. Kemunculan Kerajaan Melayu Johor pada abad ke-17, menjadikan Negeri Sembilan sebagai wilayah di bawahnya seperti dalam perbilangan adatnya yang menjelaskan,


Beraja di Johor,

Bertali ke Siak,

Bertuan ke Minangkabau


Negeri Sembilan pada masa itu walaupun di bawah pemerintahan Sultan Johor, tetapi Luak-luak adalah di bawah pemerintahan Penghulu masing-masing dengan dibantu oleh Lembaga dan Buapak. Sistem pemerintahan negeri dapat dikatakan sebagai satu pemerintahan yang bercorak demokrasi yang berbentuk ‘tier system’.

Manakala sistem pentadbiran pula bermula daripada kalangan atasan hinggalah ke bawah iaitu Raja, Penghulu, Lembaga dan Buapak. Buapak memiliki anak buah berperanan menyampaikan segala perintah yang disebutkan dalam perbilangan adatnya;


‘Berjenjang naik,

bertangga turun’


Pada abad ke-18, Sultan Johor, Sultan Abdul Jalil III tidak dapat mentadbir wilayah di bawahnya dengan sempurna disebabkan gangguan-gangguan daripada Belanda dan Melaka di samping serangan orang Acheh dan Bugis. Oleh kerana pemerintahan pusat di Johor tidak tenteram dan keadaan di Negeri Sembilan menjadi huru-hara, maka satu angkatan anak Raja Bugis yang diketuai oleh Daeng Kemboja telah memaksa masyarakat di Negeri Sembilan mengakui dirinya sebagai Raja. Masyarakat Negeri Sembilan telah bermuafakat untuk meminta bantuan menghantar seorang anak raja bagi memerangi Daeng Kemboja.

Sultan Johor tidak dapat menolong mereka, jadi antara tahun 1770, Pemegang Adat dan Undang Yang Empat meminta izin untuk menjemput seorang Raja dari Pagar Ruyong. Akhirnya, Sultan Johor bersetuju dan rombongan mereka bertolak ke Pagar Ruyong yang diketuai oleh dua orang panglima iaitu Panglima Bandan dan Panglima Bandut.

 

SEJARAH KEDATANGAN RAJA PAGAR RUYONG

Yang di-Pertuan Pagar Ruyong telah berkenan menunaikan hajat masyarakat Negeri Sembilan untuk mendapatkan seorang Raja berketurunan Pagar Ruyong. Baginda telah menghantar puteranya, Raja Mahmud yang kemudiannya bergelar Raja Melewar. Sebelum ketibaan Raja Melewar ke Negeri Sembilan, Yang di-Pertuan Pagar Ruyong telah mengutuskan Raja Khatib untuk menyediakan persiapan menyambut kedatangan raja. Raja Melewar yang diiringi dengan panglima handalan telah berangkat menghadap Sultan Johor, kemudiannya ke Negeri Sembilan melalui Naning. Setelah berjaya mengalahkan angkatan Daeng Kemboja di Naning, baginda memasuki Rembau melalui Naning lalu ditabalkan oleh Penghulu Luak (waktu itu belum bergelar Undang) di Kampung Penajis, Rembau seperti dalam perbidalan,


Tanah Kerjan (Kerajaan) di Penajis

Tanah Mengandung di Seri Menanti,

Balai Melintang di Sungai Ujong,

Balai Bertingkat di Johol,

Yang mengatur Bilangan Adat di Jelebu,

Yang mengukurkan di Rembau.


Setelah Raja Melewar mengetahui Raja Khatib mengisytiharkan dirinya sebagai Raja di Seri Menanti, baginda berangkat ke sana melalui Bukit Putus untuk menyebarkan pembohongan tersebut. Dalam peperangan saudara ini, Raja Khatib telah melarikan diri dan Dato’ Penghulu Naam dijatuhi hukuman pancung. Akhirnya, Raja Melewar ditabalkan menjadi Yamtuan Pertama dalam lipatan sejarah pemerintahan Negeri Sembilan. Oleh yang demikian, Raja Melewar sebagai Yamtuan Pertama telah menjadi perintis kepada susur-galur kerabat Diraja dari Pagar Ruyong.

Negeri Sembilan, di samping mempunyai Undang yang pada zaman sebelum penjajahan Inggeris berkuasa penuh ke atas luak masing-masing, juga mempunyai seorang Yang di-Pertuan Besar atau dahulunya hanya dikenali Yamtuan sahaja. Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Besar hanya berkuasa di Luak Seri Menanti sahaja sehinggalah berlaku pergolakan yang menyebabkan campur tangan pihak penjajahan Inggeris. Penglibatan pihak Inggeris tersebut membolehkan perlantikan seorang Residen British sebagai penasihat dalam pentadbiran dan membuat peraturan negeri.

 

Pautan Agensi

Pautan Negeri

Capaian Terus