Keunikan masyarakat Negeri Sembilan dapat dilihat daripada sudut amalan Adat Perpatihnya yang memang diketahui umum. Masyarakat Negeri Sembilan yang dasarnya berasal dari Minangkabau telah membawa bersama-sama adat resam, ‘Biar mati anak, jangan mati adat’ dan kebudayaan mereka yang dapat digambarkan melalui rekabentuk bumbung rumah iaitu berbentuk tanduk kerbau.

Adat Perpatih mengikut istilah merupakan urutan kata-kata yang mendukung satu cita-cita dan ideologi bersama yang menjadi undang-undang/hukum/pegangan dan anutan kepada masyarakat di Negeri Sembilan. Konsep am dalam adat ini merangkumi seluruh bidang undang-undang, iaitu peraturan perlantikan ketua-ketua adat, peraturan perkahwinan, kedudukan suami dalam suku, pewarisan dan sebagainya.

 

‘Adat menimbulkan yang baik, menghilangkan yang buruk’.

Adat boleh dibahagikan kepada empat iaitu:

    1. Adat yang sebenar adat
    2. Adat yang teradat
    3. Adat yang diadatkan
    4. Adat istiadat

 

Adat yang sebenar adat

Ia adat yang asli dan merupakan aturan asas yang menjadi dasar kehidupan masyarakat Adat Perpatih. Adat ini tidak boleh diubah dan merupakan undang-undang yang tak lapok dek hujan dan tak lekang dek panas

Contohnya;

Raja menobat di alam,
Penghulu (Undang) menobat di luar,
Lembaga menobat di dalam lingkungan,
Buapak menobat pada anak buah,
Orang ramai menobat pada teratak

 

Adat yang teradat

Ia adalah peraturan yang dilahirkan oleh masyarakat seperti mas kahwin, hukum atas kesilapan, atau kata muafakat yang telah diadatkan.

Contohnya;

Kata Undang melimpahkan,
Kata Lembaga menyelesaikan,
Kata ulama kata hakikat,
Kata monti kata menyambung,
Kata hulubalang kata berdarah,
Kata perempuan merendah,
Kata orang ramai yang kata bulat.

 

Adat yang diadatkan

Sesuatu yang disusun mengikut muafakat dan kemudian dijadikan adat/undang-undang. Contohnya:

Bulat anak buah menjadikan Buapak,
Bulat Buapak menjadikan Lembaga,
Bulat Lembaga menjadikan Undang,
Bulat Undang menjadikan keadilan (Raja).

 

Adat istiadat

Adat-adat resam yang terdapat dalam satu-satu upacara. Adat istiadat bersifat keraian yang dianggap baik jika dilakukan, contohnya adat bersanding.

Orang semenda disuruh pergi,
Dipanggil datang,
Raja orang semenda, tempat semenda.

 

 

 

Pautan Agensi

Pautan Negeri

Capaian Terus