Seremban, 4 April 2019 (Korporat SUKNS) - Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menyempurnakan Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu Ke-16, Dato’ Maarof Mat Rashad di Istana Besar Seri Menanti.

Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud dan kedua-dua putera baginda Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Datuk Seri Zain Al-'Abidin.

Istiadat Menghadap Bagi Menzahirkan Kejadian Undang merupakan sebahagian daripada adat-istiadat Negeri Sembilan yang telah diamalkan turun-temurun dan perlu dijaga serta dikekalkan sama seperti adat-adat lain yang terkandung dalam Adat Perpatih.

Istiadat itu dimulai dengan Undang Luak Jelebu tampil menghadap menjunjung duli dan melafazkan sembah taat setia disusuli acara Tuanku Muhriz menaburkan titah kejadian.

Maarof diumumkan sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 dalam satu istiadat pada 20 Disember 2018 bagi menggantikan Undang Luak Jelebu ke-15, Datuk Musa Abdul Wahab yang meninggal dunia pada 11 September 2014.

Dalam struktur pemerintahan beraja di Negeri Sembilan, institusi Undang Yang Empat, iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Johol dan Undang Luak Rembau serta Tunku Besar Tampin, mempunyai fungsi kuasa mutlak di luak atau kawasan masing-masing.

Undang Yang Empat juga bertanggungjawab melantik Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Pautan Agensi

  • KSN
  • MDeC
  • MSC Malaysia
  • JPA
  • LHDN
  • myGOV
  • SPA
  • MAMPU
  • SPR
  • PCB
  • myGOV Mobile

Pautan Negeri

Capaian Terus