SEREMBAN,15 Jun (Rabu) - Seramai 9 orang penjawat awam dari Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan menerima anugerah Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) yang disampaikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan di Wisma Negeri.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Dato’ Mat Ali bin Hassan dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (Pengurusan), Puan Salinah binti Ismail.

Empat penerima anugerah adalah daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan iaitu Encik Nor Adzman bin Alias, Puan Masru binti Naim, Encik Rohaizat bin Abdul Razak dan Encik Jegan a/l Ramalingam.

Jabatan Pengairan dan Saliran turut menyenaraikan tiga penerima anugerah iaitu Encik Hanif bin Hamzah, Puan Zanariah binti Abu Bakar dan Puan Muhaini binti Mohd Idris, manakala Puan Razidah binti Adam dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Encik Jamaludin bin Samsir dari Jabatan Kerja Raya.

Penganugerahan ini adalah yang pertama kali diadakan dan diberikan kepada penjawat awam yang mempamerkan kecemerlangan yang luar biasa dalam tugasan rasmi mereka.

Kecemerlangan yang dipamerkan juga termasuklah penjawat awam yang aktif dalam penglibatan ataupun sumbangan di luar tugas rasmi seperti aktiviti kesukarelaan, kemasyarakatan, sukan dan kebudayaan.